Terengganu panggil Badrul Afzan, akan buat rombakan pemain


  • Podium
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Penyokong mula mempersoalkan corak permainan dipertaruhkan Badrul Afzan. — Facebook/TFC

PRESTASI tidak menentu yang ditampilkan Terengganu FC (TFC) sejak kebelakangan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong setia pasukan Pantai Timur berkenaan. 

Bagi merungkai punca kemerosotan tersebut, pihak pengurusan kelab memanggil ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali untuk memberi penjelasan berhubung situasi semasa skuad Peteh itu.

Dalam satu kenyataan rasmi, kelab berkenaan menegaskan bahawa pertemuan itu diadakan bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi memperbaiki prestasi pasukan menjelang baki saingan musim ini.

BACA LAGI: 'Tengah tiada job', waktu terbaik Sabah-Selangor-TFC terjebak 'drama' berebut kontrak 3 jurulatih Asia Timur

BACA LAGI: [VIDEO] Pedihnya masih terasa, jaringan ex-TFC hampakan Selangor masa tugasan terakhir Asia di Indonesia

"Antara langkah yang telah diambil oleh pihak pengurusan bersama Jawatankuasa Teknikal & Pemilihan ialah memanggil Ketua Jurulatih bagi memberikan laporan dan penilaian semula prestasi bagi mengenalpasti kelemahan menjelang aksi timbal balik Piala FA yang akan diadakan di Kuching Selasa ini.

"Kedudukan semasa di peringkat Liga Super, Terengganu masih berada di landasan yang baik dengan kedudukan di tempat ketiga teratas. Walaubagaimanapun, jika prestasi pasukan tidak konsisten, ia akan turut memberi kesan selepas ini," tulis kenyataan itu. 

Prestasi tidak konsisten Terengganu kembali menjadi bualan penyokong apabila pasukan itu tewas 4-1 kepada Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA.

Meskipun beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badakm Terengganu dengan sokongan lebih 10,000 penyokong, Sang Penyu masih gagal meraih kemenangan.

Ronald Ngah Wanja, Danial Asri dan gol sendiri Yann Mabella memastikan Kuching City memiliki kelebihan di Kuching. Terengganu meraih gol sagu hati menerusi penalti Mabella dalam aksi sama.

Rentetan kekalahan memalukan di laman sendiri tersebut, Badrul Afzan juga bakal membuat rombakan menjelang aksi kedua suku akhir Piala FA di Kuching pada 28 Oktober.

Selain itu, pengurusan Peteh turut akan menilai prestasi pasukan dalam tiga aksi berikutnya sebelum mengambil sebarang tindakan drastik.

"Perlawanan Piala FA pusingan ke 2 dan dua (2) perlawanan Liga Super menentang JDT FC pada 31 Oktober 2025 di SSMZA dan Negeri Sembilan FC 22 November 2025 di Paroi merupakan peluang barisan kejurulatihan memperbaiki prestasi sebelum sebarang tindakan drastik diambil. 

"Rombakan pemain juga akan dilakukan oleh Ketua Jurulatih untuk memberi impak bertenaga bertemu Kuching City FC Selasa nanti. 

"Kami menyeru agar semua penyokong terus memberikan sokongan dan kata-kata semangat buat semua pemain-pemain dan barisan kejurulatihan agar lebih meningkatkan moral pasukan dan terus bermotivasi membawa Terengganu FC layak ke separuh akhir Piala FA," tambah TFC.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram