'Tengah tiada job', waktu terbaik Sabah-Selangor-TFC terjebak 'drama' berebut kontrak 3 jurulatih Asia Timur


  • Podium
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Selangor, Terengganu dan Sabah merebut peluang mendapatkan khidmat tiga jurulatih berkualiti dari Asia Timur.

BELUM memasuki 10 perlawanan, 'drama' Liga Super musim 2024/2025 sudah mula mewarnai saingan domestik dengan ada di antaranya melibatkan pengguguran jurulatih dek masalah prestasi kurang memberangsangkan.

Antara jurulatih terawal yang ditunjukkan jalan keluar musim ini ialah Katsuhito Kinoshi selepas dia membawa pasukan itu menang lima perlawanan, seri satu dan tewas empat perlawanan dalam 10 perlawanan membabitkan semua pertandingan musim ini.

Kekosongan berkenaan pula diisi buat sementara waktu oleh pengendali Selangor II iaitu Christophe Gamel untuk membantu cabaran skuad Gergasi Merah Kuning sebelum memenuhi jurulatih baharu.

BACA LAGI: 'Nama lebih besar berbanding kelab', ada baiknya 3 bintang Liga Super 'angkat kaki'

BACA LAGI: Diam-diam 'menghilang', mana perginya bintang import Liga Super sebelum jendela perpindahan dibuka semula

Selain Selangor, Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) juga musim ini sepertinya akan melakukan perubahan untuk posisi ketua jurulatih mereka apabila Jean-Paul de Marigny serta Badrul Afzan Razali masih belum mencapai tahap memuaskan.

Sabah FC bimbingan Jean-Paul dalam prestasi tidak memuaskan selepas belum merekodkan sebarang kemenangan dalam enam aksi awal liga, The Rhinos ketika ini menduduki tangga ke-12 Liga Super dengan hanya tiga mata.

Manakala, tiga kekalahan kepada pencabar utama iaitu Selangor (2-5) tunduk tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur City pada 27 September lalu dan terbaharu tewas 1-4 menentang Kuching City menyebabkan kedudukan Badrul Afzan terancam.

Situasi Selangor, Terengganu dan Sabah FC yang masih belum pasti mengenai kedudukan ketua jurulatih masing-masing wajar dimanfaatkan dengan merebut peluang mendapatkan khidmat tiga jurulatih berkualiti dari Asia Timur.

1) Shin Tae-yong

Tae-yong antara jurulatih disayangi penyokong skuad Garuda. — Agensi

Bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong wajar berada dalam senarai tiga kelab berkenaan selepas kelab Korea Selatan iaitu Ulsan HD melepaskan khidmatnya usai 65 hari bersama.

Pemecatan Tae-yong dikatakan tidak sehaluan dengan beberapa pemain dalam skuadnya, selain dikatakan cuba untuk melangkaui keputusan pengurusan tertinggi kelab dengan cuba melakukan perubahan besar dalam skuad tanpa kebenaran.

Lupakan sejarah pahitnya bersama Ulsan, era Tae-yong bersama Indonesia membantu skuad Garuda berjaya memasuki pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan bersaing dengan baik.

Dengan reputasi dan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, Tae-yong dilihat sebagai calon ideal untuk memperkukuh struktur taktikal dan mentaliti kemenangan pasukan seperti Sabah, Selangor serta Terengganu.

Tiga-tiga pasukan berkenaan masing-masing kini mencari hala tuju baharu di bawah kendalian jurulatih berpengalaman sebelum prestasi lebih buruk menghantui kelab nanti.

2) Masatada Ishii

Ishii berkhidmat kira-kira tiga tahun bersama skuad Thailand. — Agensi

Pengurusan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) dalam satu hantaran di platform Changsuek membuat kejutan dengan memilih berpisah dengan jurulatih mereka dari Jepun, Masatada Ishii.

Keputusan tersebut sememangnya mengejut berikutan skuad Gajah Perang dilihat berpotensi merampas semula kedudukan pendahulu Kumpulan D untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

Di bawah bimbingan Ishiii, Thailand kembali menghidupkan peluang dalam Kumpulan D dengan menewaskan Chinese Taipei sebanyak dua kali dalam kalendar antarabangsa Oktober.

Dengan pengalaman luas di pentas antarabangsa dan reputasi sebagai jurulatih yang berjaya membina pasukan berdisiplin tinggi, Ishii wajar dipertimbangkan oleh Sabah, Selangor dan Terengganu.

Sentuhannya yang menekankan intensiti, penguasaan bola dan taktikal efektif mampu memberi dimensi baharu kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia yang sedang mencari pengurus berkaliber untuk memperkukuh cabaran musim ini.

3) Kim Pan-gon

Pan-gon meninggalkan Harimau Malaya pada pertengahan 2024. — Facebook/FAM

Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berpeluang membuat kemunculan semula dalam arena bola sepak tempatan selepas kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

Jurulatih berusia 56 tahun itu meninggalkan skuad kebangsaan Malaysia pada pertengahan 2024 sebelum menerima tawaran mengendalikan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan HD.

Di bawah bimbingannya, Ulsan berjaya mengekalkan kejuaraan K-League musim lalu, namun perjalanan Pan-gon bersama kelab tersebut berakhir pada Ogos 2025 susulan kempen Piala Dunia Kelab FIFA yang kurang memberangsangkan.

Kini sebagai ejen bebas, Pan-gon dilihat berpotensi kembali ke Malaysia sekiranya Selangor, Terengganu dan Sabah ingin mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman dan berkaliber tinggi.

Sepanjang kariernya, Pan-gon memiliki rekod kejurulatihan yang luas termasuk bersama Gyeongnam FC (2011) serta pasukan kebangsaan Hong Kong (2013–2017) sebelum mencipta impak besar bersama Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram