KEMASUKAN semula beberapa pemain import ke saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini ternyata belum memberikan impak seperti yang diharapkan, meskipun sudah enam perlawanan berlangsung.
Walaupun kembali dengan pengalaman dan reputasi lebih besar, prestasi pemain import berkenaan masih hambar serta gagal persis ketika musim pertama mereka berhijrah ke pentas domestik.
Kepulangan itu sepatutnya menyuntik kekuatan dan semangat baharu kepada pasukan masing-masing, sebaliknya menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong apabila aksi mereka tidak menampilkan kualiti yang diharapkan, malah ada yang menurun berbanding sebelum ini.
BACA LAGI: Sudah jejak pentas Piala Dunia, pemain 7 negara masih belum pikat kelab EPL
BACA LAGI: [VIDEO] Setaraf bintang Eropah, 3 'advantage' dalam tangan Selangor sebaik sambar peledak Jordan
Antara faktor menjadi perbualan penyokong termasuk tahap kecergasan, keserasian bersama rakan sepasukan serta gaya taktikal jurulatih yang tidak lagi sepadan dengan kemampuan sebenar mereka.
Situasi berkenaan sekali gus menimbulkan persoalan sama ada keputusan membawa pulang pemain lama benar-benar berbaloi untuk jangka masa panjang atau hanya menjadi beban pasukan.
Musim ini, situasi sama berlaku kepada beberapa pemain import di kelab Liga Malaysia apabila tidak tampil dengan pulangan yang diharapkan dan seolah-olah hanya mengulang sejarah lama.
1) Willian Lira

Lira masih tidak merekodkan sebarang gol untuk Selangor musim ini. — Facebook/SelangorFC
Sejak tiba di Selangor pada awal musim ini, bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC berkenaan tampil dalam enam perlawanan termasuk satu aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Persib Bandung.
Dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-67 menyaksikan pemain kelahiran Brazil itu tidak memberikan impak besar dan akhirnya Gergasi Merah tewas 0-2 kepada wakil Indonesia itu.
Ketumpulan penyerang kelahiran Brazil berkenaan hanya menimbulkan kemarahan penyokong hingga mengharapkan Lira akan ditunjukkan jalan keluar pada jendela perpindahan kedua nanti.
Kempen bersama Selangor bukan kali pertama Lira tampil dengan aksi kurang memberangsangkan apabila ketika bersama KDA FC juga menyaksikan penyerang itu mendapat kritikan keras.
Sepanjang menyarung jersi skuad Sang Kenari untuk kira-kira enam bulan, Lira sempat mencetak enam gol dan dua bantuan jaringan dalam 15 perlawanan dia diberi kepercayaan untuk KDA FC.
Meskipun rekod tersebut tidak memberangsangkan namun ia masih memikat hati pasukan divisyen kedua Thailand iaitu Chonburi FC untuk membawanya masuk pada Julai 2023 hinggua Julai 2024.
2) Moussa Sidibe

Sidibe diberi peluang kedua untuk bermain bersama JDT. — Facebook/JDT
Pemain tengah, Moussa Sidibe cukup sinonim dengan peminat pasukan tersebut kerana dia sebelum ini pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2022, namun hanya sempat mencatatkan tiga penampilan bersama skuad utama.
Menyedari kebolehannya tidak sesuai dengan gaya pasukan, Sidibe kemudian diletakkan dalam skuad simpanan sebelum di menyertai Ratchaburi FC secara pinjaman dan berkelana ke Indonesia untuk menyertai Persis Solo selepas kontraknya bersama JDT tamat.
Namun, pihak pengurusan Harimau Selatan memilih untuk memberinya peluang kedua dengan harapan gaya permainannya sesuai akan taktikal ketua jurulatih baharu, Xisco Munoz.
Tetapi, kepercayaan berkenaan nampaknya hanya memakan diri kerana pemain berusia 30 tahun dari Mali itu kini hanya bermain untuk skuad JDT II bagi saingan Liga A1 Semi Pro.
Bersama JDT II pun menyaksikan Sidibe masih gagal mempamerkan aksi cemerlang hingga dia hanya diberi kesempatan untuk bermain bersama skuad utama dalam empat perlawanan sahaja.
Hakikatnya, kembalinya Sidibe ke pangkuan JDT langsung tidak membawa perubahan ketara kepada jentera tengah pasukan juara bertahan itu.
Walaupun, diberi ruang untuk menyesuaikan diri semula dengan corak permainan pasukan, prestasinya masih jauh daripada tahap yang diharapkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
