‘Pengurusan gagal’, kemarau kemenangan lepas 7 aksi petanda Sang Badak tiada hala tuju


  • Podium
  • Isnin, 27 Okt 2025

Skuad Sang Badak kini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan hanya empat mata diperoleh. — Facebook/Sabah FC

PENANTIAN Sabah FC untuk merekodkan kemenangan pertama di pentas Liga Super musim ini berterusan setelah gol pemain tengah Imigresen FC, Eduardo Sosa menyaksikan aksi di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Ahad berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Pertembungan tersebut menyaksikan tuan rumah menjaringkan gol terlebih dahulu menerusi Joao Pedro sebelum skuad Sang Badak mengikat kedudukan hasil jaringan Stuart Wilkin pada minit ke-50.

Empat minit kemudian, pasukan pelawat berjaya menambah jaringan setelah Miguel Cifuentes menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin untuk memastikan kedudukan 2-1 berpihak kepada Sabah FC.

BACA LAGI: 'Tengah tiada job', waktu terbaik Sabah-Selangor-TFC terjebak 'drama' berebut kontrak 3 jurulatih Asia Timur

BACA LAGI: 'Tiada siapa tahu keajaiban yang mampu dibawa pengendali baharu Sabah FC'

Skuad Sang Badak hanya mengumpul satu mata ketika bertandang ke Stadium Batu Kawan. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, rembatan deras Sosa pada penghujung perlawanan memaksa kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata dari aksi Liga Super berkenaan.

Keputusan itu menyaksikan Sabah FC terus menantikan kemenangan pertama dalam divisyen teratas bola sepak tanah air musim ini dengan empat keputusan seri dan tiga kekalahan dialami selepas tujuh perlawanan.

Mereka yang menamatkan saingan Liga Super 2024/25 kini berada di tangga ke-10 dengan ia menceritakan kemerosotan ketara dialami kelab Borneo tanah air berkenaan.

Persoalan perlu diajukan kepada pihak pengurusan yang seperti belum menyedari situasi skuad Sang Badak ketika ini dengan penyokong mula mendesak agar jawapan segera diberikan.

"Rekod tujuh perlawanan liga terburuk Sabah FC setakat ini, langsung tiada kemenangan. Apa sudah jadi? Hala tuju pun tidak jelas? Apa mereka mahu untuk musim 2025/2026 ni?" soal North Borneo Ultras.

Skuad Sang Badak yang masih belum mencatatkan kemenangan berada di tangga ke-10 Liga Super. Facebook/MFL

"Tahun merudum buat Sabah FC, harap jurulatih ini segera berambus tinggalkan Sabah FC, pengurus pun harus dibuang. Pasukan tidak ada ranking pun hanya seri," kata Lantiang Din.

"Pihak pengurusan tak bijak, dah tahu pasukan tidak bagus, main masih juga pertahankan pemain itu. Kalau dulu ok sahaja," kata Anwar Ibrahim.

Prestasi skuad Sang Badak jelas merudum musim ini sekiranya hendak dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu setelah beberapa keputusan amat mengecewakan dialami.

Ini termasuk ketika mereka dimalukan 0-8 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor dengan ia merupakan antara kekalahan paling mengaibkan pernah dialami Sabah FC.

Bagaimanapun, anak-anak buah Jean-Paul de Marigny masih boleh melakar senyuman buat penyokong kerana masih berpeluang melangkah ke suku akhir Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram