Bekas import TFC-Sabah juga bergelut, berdepan situasi sama seakan Jese Rodriguez


  • Podium
  • Khamis, 23 Okt 2025

Jese gagal memberikan impak cemerlang di peringkat domestik mahupun Asia bersama skuad Harimau Selatan. — Instagram/JOHOR Southern Tigers

ENAM bulan yang mengecewakan buat bintang import dari Sepanyol, Jese Rodriguez bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana dia gagal meninggalkan impak utama, termasuk di peringkat domestik.

Dia sepatutnya memberi sumbangan lebih besar buat skuad Harimau Selatan kerana mempunyai pengalaman luas di Eropah, termasuk meraih dua takhta Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bersama Real Madrid.

Bagaimanapun, masalah kecederaan berulang menyaksikan penyerang tersebut lebih kerap diletakkan di bangku simpanan dengan hanya 14 penampilan sempat direkodkan bersama kelab Selatan tanah air itu.

BACA LAGI: Belum ada kata putus, Jese harap masih miliki masa depan bersama JDT

BACA LAGI: JDT buat keputusan tepat, bekas bintang Real Madrid masih bergelut di Las Palmas 

UD Las Palmas- Almería | 27/09/2025| 27/09/2025 | Fotógrafo: José Carlos Guerra

Jese bergelut untuk membantu Las Palmas dalam saingan LaLiga 2 2025/26. Agensi

Masalah sama berulang musim ini apabila Jese bergelut bersama Las Palmas di divisyen kedua Sepanyol dengan tiada sebarang sumbangan di hadapan gawang lawan direkodkan selepas tiga kali diturunkan.

Ini membuktikan penyerang berusia 32 tahun berkenaan mengalami kemerosotan dari segi prestasi dan gagal bangkit semula meskipun meninggalkan arena bola sepak tempatan.

Kemelut prestasi itu bukan sahaja dialami Jese kerana beberapa import lain yang meninggalkan kelab Liga Super pada jendela perpindahan lalu turut mengalami episod sedemikian.

Cabaran di tempat baharu dan persaingan lebih hebat boleh dikatakan punca di sebalik masalah tersebut dengan kebangkitan segera perlu dilakar jika mahu terus kekal.

1. Jorge Obregon (JDT)

Selain Jese, seorang lagi penyerang JDT mengalami isu prestasi musim lalu merupakan Jorge Obregon yang dibawa masuk pada tempoh perpindahan kedua dengan harapan dapat mengurangkan beban dipikul Bergson da Silva.

Dia yang kerap mensia-siakan peluang bersama skuad Harimau Selatan hanya sempat mencatatkan 22 penampilan dengan tujuh gol dan dua bantuan jaringan dilakar.

Jadi, dalam misi mengembalikan keyakinan di atas padang, penyerang tersebut memilih untuk pulang ke Colombia dan menyertai Rionegro Aguilas yang bergelut di hadapan gawang musim lalu.

Obregon memilih untuk kembali ke Colombia selepas mengecewakan di JDT. Instagram/Jorge Abregon

Harapan tersebut bagaimanapun tidak kesampaian setakat ini selepas Obregon hanya menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan daripada 10 penampilan liga.

Sumbangan itu sekali gus menceritakan bhawa pemain berusia 28 tahun tersebut masih bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik walaupun kini beraksi di samping rakan senegara.

2. Ismaheel Akinade (Terengganu FC)

Tempoh dihabiskan Ismaheel Akinade bersama Terengganu FC adalah sesuatu yang memecahkan pendapat kerana meskipun sering dikritik, dia masih mencetak 10 gol dan mencipta tiga jaringan daripada 35 penampilan.

Selain memberi sumbangan agak besar di hadapan pintu gol, pemain tinggi lampai itu turut membawa kesan dalam bilik persalinan kerana karakter yang menghiburkan hati memudahkannya menyesuaikan diri.

Namun, ia masih belum cukup untuk mencuri perhatian pihak pengurusan kelab untuk melanjutkan kontraknya dan kemudian memaksanya mencari pasukan baharu pada tempoh perpindahan lalu.

Akinade hanya merekodkan satu gol dalam 10 penampilan di Uzbekistan. Instagram/FC Andijon

Destinasi pilihannya merupakan kelab Uzbekistan, FC Andijon yang menempah slot ke ACL Two 2025/26 dengan menjuarai saingan piala di peringkat domestik musim lalu.

Keputusannya untuk ke negara Asia Tengah itu juga kelihatan belum membuahkan hasil apabila hanya satu gol dan satu bantuan jaringan direkodkan setakat ini.

Bagaimanapun, kehadirannya dalam pasukan masih memainkan peranan penting kerana dia masih diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama meskipun belum menemui rentak sebenar di atas padang.

3. Ramon Machado (Sabah FC)

Karier penyerang dari Brazil, Ramon Machado bersama Sabah FC adalah sesuatu yang membingungkan kerana meskipun beraksi cemerlang, dia memilih untuk menamatkan kontrak lebih awal iaitu pada jendela perpindahan kedua musim lalu.

Dia yang menyertai kelab Borneo tanah air tersebut pada pertengahan Liga Super 2023 tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dalam kali pertama mencuba nasib di Asia.

Masalah pengurusan dilaporkan punca di sebalik pemergian itu dengan dia akhirnya memilih untuk ke Azerbaijan dan menyertai Araz-Nakhchivan tidak lama selepas mengucapkan selamat tinggal.

Ramon difahamkan mengalami kecederaan hingga tidak dapat beraksi musim ini. Instagram/Ramon Machado

Bagaimanapun, keputusan tersebut seakan-akan memakan diri sendiri apabila Ramon tidak lagi berbisa seperti mana pernah ditunjukkan bersama skuad Sang Badak.

Situasi itu semakin merisaukan musim ini kerana dia belum lagi beraksi secara kompetitif, termasuk dalam kempen kelayakan Liga Konferens Europa UEFA (UECL).

Masalah kecederaan boleh dikatakan punca di sebalik masalah berkenaan dengan Ramon perlu segera membantu Araz-Nakhchivan yang kini di tangga kedua liga Azerbaijan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram