
PENYERANG negara, Rodrigo Holgado merupakan salah seorang dari tujuh pemain yang dikenakan hukuman dan penggantungan selepas FIFA mendapati dokumen dihantar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanggar peraturan.
Selain diarahkan membayar denda, pemain itu turut dihalang dari terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan yang pasti menjadi tamparan hebat baginya.
Bagaimanapun, hukuman berkenaan tidak memberi kesan kepada kelabnya, America de Cali yang belum mengambil sebarang keputusan untuk menggugurkannya dari pasukan mahupun menamatkan kontraknya serta merta.
BACA LAGI: Dicadang beraksi di Asia, 3 kelab terbaik jamin karier Holgado demi Harimau Malaya
BACA LAGI: Didakwa punca bebankan kelab, sudah tiba masa Holgado cari kelab baharu di Asia
Kenyataan dikeluarkan America de Cali berhubung status Holgado bersama kelab itu. — Agensi
"Kami mahu memaklumkan bahawa pihak pengurusan menerima notis berhubung hukuman dikenakan FIFA terhadap pemain, Rodrigo Holgado yang digantung 12 bulan dari terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak serta merta.
"Pemain dan FAM sudah memfailkan rayuan berhubung hal tersebut terhadap Kod Disiplin FIFA supaya keputusan itu disemak semula oleh pihak berkuasa yang sepatutnya," tulisnya.
Dalam kenyataan terbabit, America de Cali turut menegaskan pihak pengurusan akan bekerjasama rapat dengan FAM bagi mengetahui sebarang perkembangan.
Penyerang berusia 30 tahun itu sudah beraksi sebanyak dua kali buat Harimau Malaya sejak diberikan debut semasa Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Holgado merupakan salah seorang dari tujuh pemain yang digantung selama 12 bulan. — Agensi
Di peringkat kelab pula, Holgado sudah terlibat dalam 39 perlawanan buat kelab Colombia berkenaan dengan lapan gol dan dua bantuan jaringan direkodkan.
Sekiranya penggantungan itu dikekalkan, pemain terbabit berkenaan sudah tentu berdepan ketentuan bersama pasukannya yang tidak mahu menanggung seseorang dihalang dari beraksi.
Pada Jumaat, FIFA mengumumkan tujuh pemain warisan negara, termasuk Holgado dikenakan penggantungan jangka masa panjang selain diarahkan membayar denda CHF2,000 (RM10,560).
FAM turut dikenakan denda berjumlah CHF350,000 (RM1.8 juta) atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) kerana pemalsuan dokumen.
Badan induk bola sepak negara itu turut diberikan tempoh 10 hari untuk membuat rayuan dengan usaha tersebut difahamkan sudah dijalankan bagi memastikan kelangsungan revolusi Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram