
PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggangtung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dan penyelewangan dokumen.
Menurut badan induk bola sepak dunia itu pada Jumaat, mereka mendenda FAM sebanyak CHF (Swiss Franc) 350,000 atau RM1848130.55 atas kesalahan tersebut.
Malah tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figeuiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero turut digantung selama setahun daripada segala aktiviti berkaitan bola sepak.
BACA LAGI: NFDP: Tak boleh ada 2 entiti urus perkara sama, nanti tak selari — FAM
Malah, mereka turut dikenakan dengan CHF2,000 (RM10560.75) oleh FIFA.
Keputusan yang diambil oleh FIFA itu berdasarkan aduan yang diterima mereka terhadap kesahihan asal usul para pemain warisan negara itu.
Walaupun hukuman sudah dikeluarkan, FAM dan para pemain masih boleh merayu dalam tempoh 10 hari kepada FIFA.
Malah, status kesemua tujuh pemain warisan sama ada boleh mewakili Harimau Malaya kini dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA.
Kesemua tujuh pemain itu beraksi dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun di mana Malaysia menang 4-0.
Dalam pada itu, FAM mengeluarkan kenyataan balas yang mereka akan merayu keputusan tersebut kepada FIFA.
"FAM mengesahkan bahawa pihak kami telah menerima keputusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan kes pemain warisan.
"FAM telah menguruskan segala dokumentasi serta prosedur berkaitan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan. Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak untuk beraksi mewakili Malaysia.
"FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara," kata FAM dalam kenyataan pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram