Lahir di Damansara, ibu pula orang Pulau Pinang, khabarnya anak Bojan Hodak prospek warisan Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 26 Sep 2025

Bojan Hodak (kiri) mempunyai anak iaitu Luka (dalam bulatan) yang lahir di Malaysia.

REVOLUSI Harimau Malaya menyaksikan ramai pemain warisan baharu dibawa masuk bagi menguatkan skuad kebangsaan.

Inisiatif itu berjaya menghidupkan semula semangat penyokong dengan kehadiran bintang-bintang warisan baharu memberikan harapan untuk bola sepak negara terus maju.

Kini, kita mungkin berpotensi untuk mempunyai bintang masa hadapan dalam bola sepak negara menerusi pemain warisan hasil ‘sumbangan’ jurulatih legenda, Bojan Hodak.

BACA LAGI: NFDP: Tak boleh ada 2 entiti urus perkara sama, nanti tak selari — FAM

BACA LAGI: 'Jangan harap dana kerajaan', Khairy Jamaluddin nasihat FAM cari duit sendiri sebelum jaga NFDP

Pengendali Persib Bandung yang sinonim dengan bola sepak Malaysia mungkin dapat menyumbang kepada Harimau Malaya walaupun tidak lagi di negara ini.

Menerusi perkongsian Harimau Abroad, anaknya, Luka Jordy Hodak merupakan anak kelahiran Malaysia.

Luka dilahirkan di Damansara, Selangor pada 30 September 2008 dengan ibunya merupakan warga tempatan kelahiran Pulau Pinang.

Dia kini beraksi bersama NK Trnje yang merupakan salah sebuah kelab tempatan di Croatia, negara kelahiran bapanya.

Luka berpeluang untuk mewakili sama ada Croatia menerusi bapanya atau Malaysia berdasarkan pertalian darah bersama ibunya.

Dengan usia masih muda iaitu 17 tahun, jika dia mempunyai potensi tinggi sudah pasti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh memerhati dan mempertimbang untuk memanggil Luka bagi menyertai skuad kebangsaan.

Dengan reputasi Hodak yang baik di negara ini, ia mungkin memainkan sedikit sebanyak peranan sekali gus dapat membawa Luka menyarung jersi Harimau Malaya.

Jika Luka mempunyai potensi yang mengujakan, tidak salah untuk dapatkan dia untuk Malaysia? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram