Selangor rehatkan Kino awal musim, 3 warna-warni kisah pecat ketua jurulatih pernah hiasi Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 27 Sep 2025

 

 

LIGA perlawanan bola sepak Malaysia (Liga M) tidak pernah terlepas daripada dramanya yang tersendiri.

Dari jurulatih hingga ke pemain, apa sahaja boleh berlaku termasuk keputusan mengejut yang menggemparkan penyokong.

Terbaharu, Selangor FC pada Jumaat mengumumkan ketua jurulatih mereka, Katsuhito Kinoshi, direhatkan daripada tugasan bersama skuad Merah Kuning selepas prestasi pasukan dikritik tidak menepati sasaran awal musim.

Tempat jurulatih dari Jepun yang lebih dikenali sebagai Kino dalam kalangan penyokong itu akan dipangku buat sementara waktu oleh Christophe Gamel yang dilantik sebagai ketua jurulatih interim sehingga pengurusan menamakan pengendali baharu.

Namun, kisah jurulatih ‘gugur awal’ bukanlah asing dalam warna-warni Liga M. Malah, pentas ini sudah acap kali menyaksikan pengendali terpaksa mengangkat bendera putih sebelum sempat menamatkan musim.

BACA LAGI: NFDP: Tak boleh ada 2 entiti urus perkara sama, nanti tak selari — FAM

BACA LAGI: Tiket serendah RM50 mula dijual bagi aksi Uruguay di Malaysia

Sabah FC

Kurniawan masih aktif dalam dunia kejurulatihan, termasuk pernah muncul pembantu untuk skuad muda kelab Itali, Como 1907 sebelum ke pasukan pelapis Indonesia. — Agensi

Nama Kurniawan Dwi Yulianto pernah menjadi sebutan selepas direhatkan Sabah FC pada 29 Ogos 2021 berikutan kemerosotan prestasi.

Kurniawan direhatkan oleh pengurusan selepas pasukan itu mengalami kekalahan paling memalukan pada musim berkenaan selepas tewas 0-4 kepada UiTM di Stadium UiTM di Shah Alam, Selangor yang meletakkan mereka di kedudukan cukup meruncingkan.

Takdir skuad Badak bagaimanapun berubah sebaik tongkat kepimpinan diserahkan kepada Datuk Ong Kim Swee yang merupakan seorang figura berpengalaman kerana pernah mengemudi skuad muda kebangsaan.

Malah pihak pengurusan Sabah FC sendiri menyifatkan kehadiran jurulatih berusia 54 tahun itu sejak 2021 telah memberi impak besar kepada pasukan serta komuniti bola sepak di Sabah.

Bagaimanapun, pemecatan dari Sabah FC tidak memberi kesan terlalu mendalam buat Kurniawan yang masih aktif dalam dunia kejurulatihan, termasuk pernah muncul pembantu untuk skuad muda kelab Itali, Como 1907 sebelum ke pasukan pelapis Indonesia.

Perak FC

Teong Kim (kanan) direhatkan daripada menjadi jurulatih Perak FC pada 2023 selepas hanya 12 aksi Liga Super. — Perak FC

Cerita di Perak FC pula lebih dramatik. Datuk Lim Teong Kim, jurulatih yang pernah membina nama di akademi Bayern Munich, direhatkan pada 2023 selepas hanya 12 aksi Liga Super.

Namun, kisahnya tidak berakhir di padang semata-mata selepas dia dipecat pada tahun yang sama.

Teong Kim membawa kes itu ke Mahkamah Perusahaan Malaysia, dan akhirnya keputusan memihak kepadanya apabila Perak diarahkan membayar pampasan RM1.04 juta, nilai yang melambangkan betapa tinggi harga sebuah kontrak dalam dunia bola sepak profesional.

Mahkamah Perusahaan mengarahkan kelab itu membayar pampasan tersebut kerana pemecatannya tidak wajar dan pra-matang.

Jumlah pampasan itu adalah bersamaan baki 16 bulan kontrak dua tahun Teong Kim yang sepatutnya berakhir pada Ogos 2024, setelah beliau dipecat pada Mei 2023.

Negeri Sembilan FC

Jorg Steinebrunner diminta berundur daripada jawatan jurulatih selepas hanya lima perlawanan musim 2018, selain hanya memenangi satu daripada perlawanan. — Agensi

Negeri Sembilan FC turut terpalit masalah melibatkan jurulatih yang mana berlaku pertukaran sebanyak tiga jurulatih sehingga akhirnya menyaksikan skuad Jang terpaksa disingkirkan ke saingan Liga Perdana pada 2018.

Pada ketika itu, Pengendali dari Jerman, Jorg Steinebrunner yang ditugaskan sebagai ketua pengarah Negeri Sembilan FA pada November 2016 dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Negeri Sembilan untuk kempen Liga Super Malaysia 2018.

Namun, DNA Jerman tidak bertahan lama setelah dia diminta berundur daripada jawatan itu selepas hanya lima perlawanan musim 2018, selain hanya memenangi satu daripada perlawanan.

Jawatannya disambung oleh legenda Kedah FA, Azraai Khor Abdullah pada Februari 2018 tetapi dia juga malangnya dipecat selepas tiga bulan kerana masalah prestasi yang tidak cukup memuaskan.

Selepas itu, pihak pengurusan melantik ketua jurulatih baharu berasal dari Portugal, Mario Lemos namun pengendali berusia 37 tahun itu tidak mampu menyelamatkan skaud Jang daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana.

Semua episod itu membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar permainan 90 minit, tetapi sebuah drama penuh babak mengejutkan.

Jurulatih datang dan pergi, namun tekanan untuk menghadiahkan kemenangan kekal menjadi skrip utama.

Kini, giliran Selangor FC pula menjadi sorotan. Persoalannya, mampukah Christophe Gamel menjadi pelakon utama yang mengubah jalan cerita Merah Kuning, atau akan hadir pula nama baharu yang bakal menulis babak seterusnya dalam diari penuh warna Liga M? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram