Dicadang beraksi di Asia, 3 kelab terbaik jamin karier Holgado demi Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 17 Sep 2025

Setakat 74 perlawanan diturunkan, Holgado sudah mencetak 18 gol dan lima bantuan jaringan untuk America de Cali. — Instagram/Holgado

BUKTI kualiti seseorang penyerang diukur menerusi jumlah jaringan gol yang dicetaknya, jika tiada sebarang peningkatan berlaku pasti akan memberi masalah kepada karier pemain berkenaan.

Situasi ketandusan berlaku itu kini berlaku kepada penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado yang difahamkan gagal meledak sebarang gol dalam aksi kompetitif sama ada dengan skuad kebangsaan mahupun dengan kelabnya.

Bersama skuad kendalian Peter Cklamovski, Holgado hanya sempat meledak satu gol sahaja setakat ini, iaitu ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam kira-kira dua bulan lalu.

BACA LAGI: Obregon dalam radar kelab Colombia, ada potensi berdepan Holgado jika dilepaskan JDT

BACA LAGI: Tajam depan gol berstamina 'kuda', hebatnya Rodrigo Holgado bukan biasa-biasa

Namun, prestasinya di pentas kelab lebih membimbangkan apabila bersama kelab Colombia diwakilinya iaitu America de Cali pula menyaksikan pemain berusia 30 tahun berkenaan mengalami kemelut prestasi selepas hampir empat bulan tidak menjaringkan gol.

Berdasarkan catatan statistik antarabangsa, kali terakhir pemain kelahiran Argentina itu menjaringkan gol adalah pada 28 April lalu, ketika bertemu seteru tradisi, Deportivo Cali dalam aksi liga tempatan.

Penurunan prestasi menimpa Holgado itu membuatkan penyokong America de Cali mendesak agar penyerang kelahiran Argentina itu segera mencari pasukan lain dengan beberapa kelab Asia dianggap sesuai untuk menyelamatkan kariernya.

1) Buriram United

Bisoli antara penyerang import berkualiti Buriram United. — Facebook/BuriramUnited

Holgado dilihat sebagai salah satu penyerang yang mampu menyerlah jika menyertai Buriram United, juara bertahan Thailand yang kini mendominasi saingan domestik dan konsisten beraksi di pentas Asia.

Salah satu sebab utama Holgado sesuai bersama Buriram ialah gaya permainan Liga Thailand yang terkenal dengan tempo tinggi dan bola hantaran pantas, sangat ideal untuk penyerang seperti Holgado memanfaatkan ruang tercipta di kawasan penalti lawan.

Selain itu, kelebihan fizikal Holgado dalam perebutan bola udara serta kawalan badan menjadikannya ancaman berbahaya terhadap pertahanan lawan dan sesuai membantu kelab tersebut menambah variasi dalam strategi serangan.

Tambahan pula, Buriram bukan sahaja kelab gergasi di Thailand, malah konsisten mara jauh dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan ia sekali gua membuka ruang untuk dirinya menonjol di pentas serantau.

Namun begitu, Holgado perlu berdepan cabaran utama iaitu persaingan dengan penyerang import sedia ada seperti Bisoli, Nemanja Nikolic, Fejsal Mulic, Ilhan Fandi serta beberapa pemain tempatan lain.

2) Ulsan Hyundai

Ulsan Hyundai antara pasukan sesuai disertai Holgado. — Facebook/UlsanHD

Dengan tradisi membentuk skuad yang seimbang dari segi fizikal dan taktikal, kelab gergasi Korea Selatan iaitu Ulsan Hyundai FC mampu menjadi pentas ideal untuk Holgado menyerlahkan kebolehannya.

Gaya bola sepak Korea terkenal dengan intensiti tinggi, disiplin taktikal dan corak permainan fizikal sangat sepadan dengan profil Holgado lagi lagi penyerang itu memiliki stamina baik untuk bersaing dengan pertahanan K-League yang agresif serta pantas.

Tambahan pula, Ulsan Hyundai sering menjadi pencabar kejuaraan ACLE dan perkara itu membuka peluang kepada Holgado untuk menimba pengalaman berharga di pentas elit Asia, sekaligus meningkatkan peluangnya membina nama di peringkat lebih luas.

Sejarah K-League turut menunjukkan ramai penyerang import berjaya meledak bersama kelab-kelab besar, termasuk contoh popular Junior Negrao yang pernah menjadi mesin gol Ulsan apabila mencetak 84 gol dan sembilan bantuan jaringan dalam 125 perlawanan diturunkan.

Hal ini membuktikan liga Korea merupakan destinasi yang sesuai untuk penyerang import yang mahu meletup dan Holgado boleh mengikut jejak langkah tersebut jika diberi ruang dan peranan yang tepat.

3) JDT

Figueiredo semakin serasi bersama JDT. — Facebook/JDT

Dengan pengalamannya beraksi dalam skuad kebangsaan, Holgado pasti secara amnya terbiasa dengan corak permainan tempatan, menjadikan proses adaptasinya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) lebih mudah berbanding pemain asing baharu yang lain.

Sebagai juara bertahan Liga Super yang sentiasa menaruh harapan tinggi di Asia, Harimau Selatan pastinya memerlukan seorang penyerang klinikal tambahan untuk memperkukuh barisan hadapan.

Holgado yang terkenal dengan penyudah tajam serta kekuatan fizikal mampu memberi dimensi berbeza dalam serangan, terutama ketika menentang pasukan gergasi Asia yang memiliki pertahanan kukuh dalam saingan ACLE.

Dari segi peluang beraksi, Holgado mempunyai peluang tinggi untuk menjadi pilihan utama di barisan serangan berikutan dia pastinya mempunyai keserasian sedia ada dengan rakan sepasukan yang sama di JDT dan skuad kebangsaan.

Lihat sahaja, rakan pemain warisannya di skuad kebangsaan iaitu Joao Figueiredo sangat cepat menyesuaikan diri bersama JDT walaupun baru sahaja menyertai pasukan itu pada awal musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram