
PELUANG terbaik jelas terhidang buat Selangor FC untuk melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two kerana tidak berdepan ujian seperti mana dihadapi edisi lalu.
Skuad Gergasi Merah yang diletakkan dalam Kumpulan G bakal berdepan kelab sekitar Asia Tenggara iaitu Bangkok United (Thailand), Persib Bandung (Indonesia) dan Lion City Sailors (Singapura).
Ini memberikan sedikit kelegaan buat anak-anak buah Katsuhito Kinoshi kerana jurang antara lawan tidaklah begitu besar jika hendak dibandingkan dengan pasukan sekitar Asia Timur seperti dari Jepun dan Korea Selatan.
BACA LAGI: Juan Muniz sah ke Australia, ganti bintang England kini di Selangor
BACA LAGI: [VIDEO] Makin tajam depan gawang, striker Sabah-Selangor pimpin senarai penjaring hatrik Liga Super
Selangor FC berpeluang cerah melepasi peringkat kumpulan ACL Two musim ini.
Bagaimanapun, naib juara Liga Super 2024/25 itu tidak boleh bersikap sambil lewa dalam setiap perlawanan kerana kedudukan dua teratas perlu menjadi sasaran utama.
Ia termasuk dalam perlawanan pembukaan kumpulan menentang Bangkok United di laman sendiri pada Khamis yang sedikit sebanyak menentukan kisah skuad Gergasi Merah di pentas Asia musim ini.
Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan Selangor FC sepenuhnya kerana dapat mengelak risiko keletihan akibat perjalanan selain tiada tekanan penyokong.
Jadi, perlawanan itu sepatutnya menghadiahkan tiga mata mudah buat skuad Gergasi Merah bagi menyuntik keyakinan sepanjang kempen ACL Two kali ini.
Namun, seperti mana dinyatakan di atas, kelab Lembah Klang tersebut tidak boleh bersikap alpa dan terlalu yakin kerana sejarah lampau membuktikan pasukan Thailand mempunyai kualiti tersendiri.
Kinoshi gagal membantu skuad Gergasi Merah mencipta kemenangan dalam aksi pertamanya bersama kelab itu. — Facebook/Selangor FC
Perkara berkenaan terpaksa diakui Selangor FC sendiri memandangkan kali terakhir mereka menerima kunjungan wakil dari negara tersebut berakhir dengan kekecewaan.
Hal itu disaksikan musim lalu semasa pasukan Liga Super itu berdepan Muangthong United dalam aksi kelima peringkat kumpulan dengan tiga mata penuh diperlukan untuk meloloskan diri.
Menariknya, pertembungan itu juga merupakan ujian pertama Kinoshi sejak dilantik bagi mengisi kekosongan Nidzam Jamil dengan cabaran besar baginya menerapkan falsafah dimahukan.
Perlawanan tersebut bermula dengan baik selepas skuad Gergasi Merah lebih awal mendahului menerusi jaringan Quentin Cheng pada minit kelima perlawanan.
Tetapi, situasi berubah pada babak kedua permainan apabila tuan rumah dibolosi sebanyak dua kali hasil jaringan Felicio Brown dan Poramet Arjvirai.
Skuad Gergasi Merah perlu bangkit sekiranya mahu melepasi peringkat kumpulan ACL Two musim ini. — Facebook/Selangor FC
Kedudukan 1-2 kekal hingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menyaksikan Muangthong United memintas ke kedudukan kedua kumpulan memasuki hari terakhir peringkat kumpulan.
Meskipun Selangor FC turut meraih kemenangan pada aksi penutup menentang Cebu FC, ia tidak mencukupi kerana kelab Thailand itu turut mengumpul tiga mata setelah menundukkan Jeonbuk Hyundai Motors di laman sendiri.
Penyingkiran dari ACL Two itu memberi kesan terhadap penyokong yang mengharapkan skuad Gergasi Merah untuk beraksi lebih baik di pentas Asia selepas bertahun-tahun menantikannya.
Kekecewaan itu bagaimanapun boleh ditebus musim ini dengan pasukan tersebut perlu sepenuhnya memanfaatkan setiap kelebihan, lebih-lebih lagi berhubung aksi di laman sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram