'Kita akan beri 300 peratus', ini janji Jairo Da Silva


  • Podium
  • Selasa, 16 Sep 2025

Da Silva (kanan) dan Munoz ketika ditemui pada sidang media pra perlawanan JDT menentang Buriram United di Arena Chang pada Selasa. — Facebook/JDT

KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berdepan Buriram United pada Selasa dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite, dengan pemain sayap Jairo Da Silva menegaskan juara Malaysia itu sudah bersedia memberikan tentangan.

Pertemuan itu menghidupkan kembali persaingan lama apabila gergasi Thailand itu tidak tewas dalam tiga pertemuan musim lalu, termasuk kemenangan di pusingan 16 terbaik yang menamatkan kempen benua JDT.

Buriram kemudian merangkul kejuaraan berganda empat di peringkat domestik, sekali gus membuka tirai satu lagi pertembungan sengit antara dua kuasa besar serantau Asia Tenggara. 

BACA LAGI: Kebetulan atau tidak, penyerang 'berkepala' botak sering bawa tuah buat JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Debut Ager Aketxe imbas kembali 'magis' Cabrera bersama JDT

"Ia perlawanan besar dan kami sedar tentang itu. 

"Kami akan bermain lebih baik, kami akan berikan 150%. Tidak, bermula hari ini (Isnin) kami akan berikan 300%," kata Da Silva pada sidang media pra-perlawanan pada Isnin di Buriram.

Jurulatih, Xisco Munoz turut menyuarakan nada keyakinan sama, menekankan cabaran besar yang menanti serta semangat juang dalam pasukannya.

"Kami tahu ia akan sukar, tetapi kami sudah bersedia. Pasukan bekerja dengan sangat baik sepanjang beberapa minggu lalu.

"Ia penting buat kami, dan kami akan berikan yang terbaik," jelasnya. 

Dengan hanya 24 slot tersedia daripada senarai 34 pemain, Munoz mengakui beberapa keputusan sukar terpaksa dibuat.

"Saya simpati kepada pemain yang ditinggalkan di Johor kerana saya tahu betapa kerasnya mereka bekerja setiap hari," kongsinya. 

Harapan Harimau Selatan bakal terarah kepada Arif Aiman Hanapi, yang menjaringkan lima gol pada kempen tahun lalu, namun Munoz menegaskan kejayaan hanya boleh dicapai dengan semangat berpasukan dan perjuangan kolektif.

Buriram, yang berbekalkan dominasi domestik dan rekod tanpa kalah ke atas Harimau Selatan akan turun sebagai pilihan utama.

Namun, bagi juara Malaysia itu, perlawanan pada Selasa itu adalah tentang membuktikan mereka sudah belajar daripada kekecewaan musim lalu  dan memulakan perjalanan baharu dengan kekuatan serta tekad. — The Star/ T. AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram