Pemilik Buriram lancar serangan psikologi, mahu JDT pulang tangan kosong


  • Podium
  • Selasa, 16 Sep 2025

Skuad Harimau Selatan sedang melakukan persiapan akhir menjelang aksi getir di Thailand. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) sudah semestinya mahu memulakan kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite musim ini dengan kemenangan bagi memastikan berada dalam kedudukan stabil.

Berdasarkan format, skuad Harimau Selatan perlu menamatkan saingan dalam kelompok lapan teratas daripada 12 pasukan untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Namun, ujian getir menanti anak-anak buah Xisco Munoz yang akan memulakan misi kali ini dengan aksi menentang Buriram United di Chang Arena, Thailand pada Selasa.

BACA LAGI: Benam finalis ACL2 belum cukup, 2 bintang JDT perlu 'step up' sebelum kempen ACL Elite

BACA LAGI: ACL Elite: Farizal Marlias optimis JDT mara lebih jauh kali ini

Skuad Harimau Selatan gagal meraih sebarang kemenangan ke atas Buriram United musim lalu. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tiga kali pertemuan musim lalu menyaksikan JDT gagal meraih sebarang kemenangan ke atas kelab terbabit dengan dua keputusan seri dan satu kekalahan dialami.

Lebih pahit lagi, kekalahan itu dirasai ketika kedua-dua kelab terbabit bertembung di pusingan 16 pasukan ACL Elite yang meranapkan cita-cita kelab untuk mencipta sejarah baharu.

Malah, pemilik Buriram United, Newin Chidchob lebih awal melancarkan serangan psikologi ke atas skuad Harimau Selatan menerusi sebuah kenyataan di laman media sosial kelab.

Usahawan ternama Thailand berkenaan menyeru penyokong agar memberikan sokongan terbaik ketika perlawanan itu dalam misi menghalang JDT daripada meraih sebarang mata penting.

Newin menegaskan perjuangan pasukannya di pentas Asia akan memberi impak positif buat Thailand. Facebook/Buriram United

"Kita yang menjadi tuan rumah perlu menggunakan kelebihan itu untuk memberi sokongan penuh buat pasukan kerana pada aksi kali ini, sorakan akan menentukan siapakah pemenang.

"Kami juga percaya bahawa kali ini, kami akan menang disebabkan sorakan peminat yang akan menjadi lebih jelas kedengaran, sekali gus memberi tekanan terhadap lawan," katanya.

Selain berdepan JDT, wakil tunggal Thailand dalam ACL Elite itu diundi berdepan pencabar hebat dalam pusingan liga dengan tiga kelab China, tiga kelab Korea Selatan dan sebuah pasukan Australia akan dihadapi mereka.

Ini merupakan satu ujian hebat buat anak-anak buah Osmar Loss yang mahu meraih kemenangan ketika berdepan skuad Harimau Selatan sebelum menghadapi cabaran lebih getir.

Dalam pada itu, Newin turut menegaskan perlawanan itu penting buat seluruh bola sepak Thailand kerana ia dapat menaikkan kedudukan liga di mata Asia.

"Buriram United akan berada di atas padang dengan keyakinan penuh dan ingatlah, kami bersaing sebagai wakil Thailand untuk membawa negara ini ke tahap maksimum dan lebih jauh.

"Kami akan melakukan yang terbaik dan mengelak kealpaan pada setiap saat dalam perlawanan ini dan menamatkannya dengan kemenangan bagi membalas sokongan peminat," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram