
KELAB Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super selepas tiada masalah membelasah Penang FC dengan kemenangan 6-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.
Pertembungan membabitkan kedua-dua pasukan yang sepatutnya diadakan 28 September ini terpaksa diawalkan bagi memberi laluan kepada JDT untuk merencana persiapan menghadapi kelab dari Jepun, FC Machida Zelvia pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di laman sendiri pada 30 September ini.
Harimau Selatan berpesta gol menerusi sumbangan Jairo da Silva, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Antonio Glauder dan dua jaringan dari ketua pasukan JDT iaitu Arif Aiman Hanapi.
BACA LAGI: Kelab La Liga umum awal, 'Beckham Sepanyol' tunggu masa sertai JDT
BACA LAGI: JDT asyik menang, mesti gol jika berikan mereka peluang — Yusri Che Lah
Kemenangan besar itu juga lebih bermakna buat pemain import baharu JDT iaitu Ager Aketxe yang membuat penampilan pertamanya untuk Harimau Selatan selepas pertama kali diumumkan pada 1 September lepas.
Walaupun hanya beraksi selama 66 minit, pemain kelahiran Sepanyol berkenaan membuat debut yang sukar dilupakan apabila sepakan percuma deras dan tepatnya mengingatkan penyokong kepada bekas tonggak, Gonzalo Cabrera.
Cabrera, yang beraksi selama enam musim bersama JDT bermula 2017 dikenali sebagai nadi serangan pasukan dengan skil teknikal tinggi, hantaran berbahaya dan rembatan kencang dari luar kotak penalti.
Sepanjang kariernya bersama JDT, pemain kelahiran Argentina itu merekodkan lebih 70 jaringan dan hampir 60 bantuan gol dalam semua kejohanan, menjadikannya antara legenda import paling prolifik dalam sejarah kelab.
Selain itu, Cabrera turut membantu JDT merangkul pelbagai kejuaraan termasuk enam kali kejuaraan Liga Super berturut-turut, selain kejayaan menjulang Piala Malaysia dan Piala FA.
Kehadiran Aketxe yang pernah beraksi bersama Athletic Bilbao dan SD Eibar dalam kancah La Liga serta La Liga 2 nyata memberi bayangan bahawa JDT kini memiliki pengganti seiras Cabrera, khususnya dari segi kreativiti serta kemampuan menjaringkan gol jarak jauh.
Malah, aksinya mengimbau kembali kenangan gol-gol menarik Cabrera di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus menyalakan semula keyakinan penyokong bahawa Harimau Selatan masih memiliki ‘senjata rahsia’ dalam menghadapi saingan lebih besar di pentas Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram