Pernah disebut jadi bintang warisan HM, kapten kelab EPL bakal berdepan Cristiano Ronaldo di Arab Saudi


  • Podium
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Brownhill pernah diangkat sebagai calon pemain warisan yang akan beraksi selepas berlakunya revolusi Harimau Malaya. — Agensi

MESKIPUN rata-rata jendela musim panas liga sekitar Eropah sudah ditutup, masih terdapat aktiviti perpindahan yang masih berlangsung kira-kira dua minggu kebelakangan ini.

Perpindahan Andre Onana yang dipinjamkan ke kelab Turkiye, Trabzonspor serta penghijrahan Christian Eriksen merupakan dua berita hangat di media sosial kebelakangan ini.

Bagaimanapun, ramai sudah tentu tidak menyedari bahawa pasukan Arab Saudi, Al Shabab mengumumkan kehadiran pemain tengah, Josh Brownhill yang beraksi buat Burnley musim lalu.

BACA LAGI: Lepas Josh Brownhill, keluarga 'ubi muda' PSV pula kongsi tiada darah Malaysia

BACA LAGI: Lupakan Josh Brownhill, 3 warisan gred B termasuk 'keeper' muda JDT layak jadi pilihan Cklamovski

Brownhill sah menyertai Al Shabab yang kini beraksi dalam Liga Pro Arab Saudi.  Agensi

Pemain tersebut memilih untuk ke Timur Tengah buat pertama kali dalam kariernya selepas menghabiskan majoriti daripada masa permainannya di negara kelahirannya itu.

Jeneral berusia 29 tahun tersebut turut meletakkan sasaran untuk menjaringkan lebih banyak gol selain menjulang trofi pada penghujung musim meskipun cabaran hebat menanti dalam Liga Pro Arab Saudi.

Ia merupakan satu sasaran cukup tinggi buat pemain itu serta Al Shabab sendiri kerana liga berkenaan dibarisi pemain elit yang menaikkan lagi pasukan diwakili.

Ini termasuk Al-Nassr FC yang dibintangi legenda bola sepak, Cristiano Ronaldo serta Al-Ahli Saudi yang menjuarai Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite pada edisi lalu.

Meskipun perpindahan itu tidaklah begitu heboh di media sosial, peminat Harimau Malaya sudah tentu sukar melupakan nama Josh Brownhill yang sebelum ini pernah dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Cristiano Ronaldo (kanan) merupakan antara bintang bola sepak yang kini beraksi di Arab Saudi.  Agensi

Spekulasi hangat tersebut membanjiri media sosial sekitar penghujung tahun lalu ketika revolusi skuad kebangsaan baru bermula di bawah perancangan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ura-ura itu semakin hangat selepas rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan Burnley meninggalkan komen yang mengharapkannya dapat beraksi buat Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, selepas kira-kira dua bulan perkara itu bertebaran di media sosial, Brownhill akhirnya memecahkan kebisuan dengan menyatakan bahawa dia tidak memiliki sebarang darah kacukan.

Penafian itu menyaksikan pemain berkenaan tidak layak untuk berada dalam skuad kebangsaan, namun tidak menghalang Harimau Malaya daripada memperkenalkan bintang warisan baharu.

Malah, di posisi tengah, pasukan negara menyaksikan perubahan besar susulan kehadiran Hector Hevel dengan pengendali, Peter Cklamovski mahir menyusun formasi terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram