[VIDEO] Makin tajam depan gawang, striker Sabah-Selangor pimpin senarai penjaring hatrik Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 15 Sep 2025

Sabah dan Selangor kini memiliki mesin gol berbisa dalam misi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2025/26.

 

 

DALAM dunia bola sepak, menjaringkan satu atau dua gol untuk satu perlawanan merupakan sesuatu yang mungkin biasa bagi seorang penyerang.

Namun, apabila seseorang pemain berjaya mencetak hatrik perkara itu pastinya sudah dianggap satu pencapaian yang membanggakan dan jarang berlaku.

Lebih luar biasa lagi, apabila seorang pemain mampu menjaringkan dua hatrik dalam kempen yang sama sekali gus meletakkan namanya dalam kelompok elit yang sukar ditandingi.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Rasanya seperti baru semalam', Safawi Rasid pimpin 'generasi emas' terakhir Harimau Muda

BACA LAGI: [VIDEO] Anak Syihan hiburkan hati fans di SSI, buat ‘plot twist’ depan gol

Itulah yang sedang dilakar oleh dua penyerang prolifik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini iaitu penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes dan penggempur Sabah FC, Darren Lok.

Kedua-duanya kini tampil cemerlang apabila berjaya mencetak hatrik untuk pasukan masing-masing.

Namun, kelebihan jelas memihak kepada Chrigor yang kini mencuri tumpuan apabila berjaya meledak dua kali hatrik, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai penyerang berbisa yang sukar dikekang.

Pencapaian itu bukan sahaja luar biasa, malah memberikan isyarat bahawa penyerang kelahiran Brazil tersebut kini berada di prestasi kemuncak dalam kariernya bersama Gergasi Merah.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan dua penyerang yang kini semakin tajam di depan gawang lawan.

Chrigor Moraes

Penyerang import Selangor FC, Chrigor Moraes mula mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air selepas mencipta rekod peribadi apabila muncul sebagai pemain pertama yang berjaya meledak dua kali hatrik musim 2025/26.

Lebih mengagumkan, pencapaian itu hadir hanya selepas enam perlawanan awal musim dengan tujuh jaringan telah disumbangkan dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

Enam daripada gol tersebut hadir menerusi dua hatrik yang mempamerkan ketajamannya selaku penggempur utama Gergasi Merah.

Chrigor melakar hatrik pertamanya ketika membantu Gergasi Merah menundukkan Terengganu FC 5-2 dalam aksi Liga Super pada 27 Ogos lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

Tidak terhenti di situ, pemain berusia 25 tahun itu sekali lagi mencuri perhatian apabila meledak hatrik keduanya dalam kemenangan besar 9-0 ke atas Malaysian University dalam saingan Piala FA pada Sabtu di gelanggang sendiri.

Secara keseluruhan, Chrigor kini telah mengumpul lapan gol sepanjang musim ini satu angka yang cukup memberangsangkan dalam tempoh singkat.

Enam daripadanya hadir menerusi dua hatrik, manakala satu lagi jaringan penting dicatat ketika aksi seri 1-1 menentang Buriram United dalam saingan Piala Shopee pada 20 Ogos lalu di tempat lawan.

Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai penyerang utama Selangor FC dan antara penjaring paling prolifik dalam saingan domestik setakat ini.

Prestasi konsisten Chrigor turut memberi isyarat jelas bahawa dia bakal menjadi tonggak penting dalam misi Selangor memburu kejuaraan musim ini.

Darren Lok

Meskipun sudah mencecah usia 35 tahun, penyerang Sabah FC, Darren Lok membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus menyinar di pentas bola sepak tempatan.

Penyerang berpengalaman itu mempamerkan ketajaman luar biasa apabila meledak hatrik ketika membantu Sabah mencatat kemenangan bergaya 6-0 ke atas Bunga Raya FC dalam saingan Piala FA pada 17 Ogos lalu.

Walaupun belum membuka akaun jaringan dalam saingan Liga Super musim ini, hatrik tersebut sudah cukup untuk menutup mulut pengkritik yang meragui kemampuan serta ketajaman penyerang berketinggian 1.74 meter itu.

 

 

 

Malah, berdasarkan data dari Transfermarkt, Darren kini merekodkan tiga gol dan satu bantuan jaringan selepas hanya tiga penampilan dalam kempen Liga Malaysia setakat ini.

Prestasi semasa itu jelas menunjukkan Darren masih memiliki sentuhan penyudah yang berbisa dan terus relevan dalam mengemudi jentera serangan The Rhinos.

Persembahan cemerlang itu sekali gus menyaksikan dia kini tersenarai sebagai antara pemain yang berjaya mencetak hatrik dalam saingan domestik musim 2025/26. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram