Juan Muniz sah ke Australia, ganti bintang England kini di Selangor


  • Podium
  • Isnin, 15 Sep 2025

Juan Muniz meninggalkan skuad Harimau Selatan dengan keputusan itu menimbulkan pelbagai persoalan.

SEPANJANG jendela perpindahan lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil keputusan melepaskan beberapa pemain bagi memberi laluan buat rekrut baharu.

Ini termasuk tonggak serangan musim lepas, Juan Muniz yang diumumkan sebagai ejen bebas kira-kira sebulan sebelum tempoh perpindahan ditutup dengan keputusan itu menimbulkan 1,001 persoalan.

Penghijrahan keluar dari skuad Harimau Selatan sangat mengejutkan kerana sepanjang dua musim bersama pasukan itu, pemain dari Sepanyol berkenaan mencetak 15 gol dari 42 penampilan.

BACA LAGI: 'Terengganu dalam momentum baik', Juan Muniz jangka aksi semifinal Piala Malaysia di SSMZA sukar

BACA LAGI: [VIDEO] Menjelang tirai Liga Super, bintang JDT-Sabah disebut-sebut tunggu masa tinggalkan kelab

Adelaide United mengumumkan kehadiran Juan Muniz yang sebelum ini dilepaskan JDT. Facebook/Adelaide United

Antara sumbangannya yang paling diingati adalah semasa dia meledak hatrik dalam perlawanan akhir Piala FA 2024 yang menyaksikan JDT meraih kemenangan bersejarah 6-1.

Bagaimanapun, dengan beberapa pemain baharu dibawa masuk untuk mengisi kekosongannya, Juan Muniz terpaksa akur dan mencari pasukan baharu demi kelangsungan kariernya.

Pencarian itu akhirnya menemui titik noktah pada Isnin selepas kelab Australia, Adelaide United mengumumkan kehadiran pemain berusia 33 tahun terbabit.

"Adelaide United berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran pemain tengah menyerang dari Sepanyol, Juan Muniz dengan kontrak tiga tahun," tulisnya di media sosial.

Meskipun perpindahan itu menerima pelbagai respons, rata-rata peminat kelab terbabit yakin perancangan pihak pengurusan akan membuahkan hasil selepas pemain berkenaan membuktikan dirinya bersama JDT.

Juan Muniz menyertai Adelaide United bagi mengisi kehilangan ditinggalkan Zach Clough. Agensi

Ini kerana Adelaide United memerlukan rombakan terhadap pasukan selepas hanya menamatkan saingan Liga Australia di kedudukan keenam dengan kepincangan jentera serangan berkali-kali menjadi sebutan.

Malah, kehadiran Juan Muniz dijangka mampu menutup kehilangan tonggak musim lalu, Zach Clough yang kini sudah beraksi dalam Liga Super buat Selangor FC.

Pemain kelahiran England itu memilih untuk berkelana ke Lembah Klang setelah berkasi buat kelab Australia terbabit sejak 2022 dengan ia merupakan pasukan pertamanya di benua berkenaan.

Tetapi, sejak memeterai perpindahan ke Selangor FC, pemain berusia 30 tahun itu belum mengesahkan diri dalam kesebelasan utama kerana ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi belum menemui formula terbaik buatnya.

Situasi berbeza sudah tentu diharapkan Juan Muniz dan Adelaide United yang mahu beraksi lebih baik dalam misi menamatkan penantian ke pentas Asia buat kali pertama sejak 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram