AI pilih Liverpool juarai UCL


  • Podium
  • Selasa, 16 Sep 2025

Takhta UCL musim ini berkemungkinan besar menjadi milik Liverpool yang sungguh mendahagaknnya. — Agensi

LIVERPOOL terus mencengkam kukuh di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas merekodkan empat kemenangan dari empat perlawanan yang meletakkan mereka di kedudukan selesa.

Ini membuktikan skuad The Reds yakin untuk mempertahankan kejuaraan, lebih-lebih lagi setelah perbelanjaan besar dibuat pada jendela perpindahan lalu.

Bagaimanapun, sasaran lebih besar diletakkan Arne Slot dan anak-anak buahnya musim ini apabila mereka turut bercita-cita menjuarai Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

BACA LAGI: Kini bersama JDT, import Brazil kempunan lepas bekas kelab cipta sejarah ke UCL

BACA LAGI: Bukan biasa-biasa, Dion Cools berpeluang kekang 3 bintang berpengalaman UCL di Jepun

Kemaraan skuad The Reds di pentas UCL musim lalu berakhir di pusingan 16 pasukan. — Agensi

Pada edisi lalu, Liverpool dikecewakan wakil Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) menerusi penentuan sepakan penalti meskipun berjaya menamatkan fasa liga di kedudukan teratas.

Kekecewaan itu mahu ditebus dalam usaha mengukuhkan status pasukan sebagai antara yang terbaik di Eropah selepas pernah menjuarainya sebanyak enam kali sebelum ini.

Malah, ramalan kecerdasan buatan (AI) menggunakan superkomputer milik Opta mendapati Liverpool mempunyai peluang paling cerah untuk menjulang trofi itu musim ini.

Berdasarkan perkiraan dibuat, skuad The Reds mempunyai 20.4 peratus kemungkinan untuk menjuarai UCL 2025/26 dengan pencabar terdekat, Arsenal hanya mempunyai 16 peratus kemungkinan kemenangan.

Skuad The Reds sudah tentu bercita-cita besar untuk menjuarai UCL selepas kali terakhir menjuarainya pada 2019. — Agensi

Kelompok lima teratas diikuti juara tahun lalu, PSG dengan 12.1 peratus sementara Manchester City dan Barcelona masing-masing dianggap mempunyai kemungkianan yang juga cerah.

Meskipun ia hanyalah satu perkiraan berdasarkan prestasi, janaan AI oleh superkomputer kerap dijadikan panduan media antarabangsa dalam memilih juara sesebuah pertandingan.

Untuk rekod, kali terakhir gergasi England itu menjuarai pertandingan berprestij tersebut adalah pada 2019 ketika masih berada di bawah kendalian Jurgen Klopp hasil kemenangan 2-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir.

Skuad The Reds akan memulakan kempen UCL kali ini dengan menerima kunjungan kelab Sepanyol, Atletico Madrid di laman sendiri pada Khamis sebelum bertandang ke Turkiye untuk menentang Galatasaray pada 1 Oktober depan.

Berdasarkan format semasa, Liverpool perlu berada dalam kelompok lapan teratas untuk terus ke pusingan 16 pasukan atau sekurang-kurangnya menduduki tangga kesembilan hingga ke-24 untuk beraksi secara playoff. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram