
DUA gol daripada empat penampilan secara keseluruhan belum menempatkan penyerang dari Brazil, Jairo da Silva dalam hati peminat Johor Darul Ta'zim (JDT).
Ini kerana masing-masing masih belum cukup berpuas hati dengan gaya permainan peledak berusia 33 tahun itu dengan majoriti daripada penyokong terus merindukan kelibat Bergson da Silva.
Namun, kritikan demi kritikan yang memenuhi ruangan media sosial tidak mengubah perancangan pengendali, Xisco Munoz yang terus meletakkan Jairo dalam kesebelasan utama.
BACA LAGI: Cara Jairo rai di Kuching penuh bermakna, dituju khas buat ‘haters’?
BACA LAGI: Benam finalis ACL2 belum cukup, 2 bintang JDT perlu 'step up' sebelum kempen ACL Elite
Jairo masih dalam proses menyesuaikan diri dalam skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Keputusan tersebut dibuat kerana jurulatih dari Sepanyol itu menyedari pengalaman dimiliki penyerang tersebut yang pernah beraksi di beberapa liga sekitar Eropah.
Bagaimanapun, meskipun bertahun-tahun menghabiskan masa di benua berkenaan, dia tidak pernah berpeluang bermain di pentas Liga Juara-Juara UEFA (UCL) yang menjadi idaman hampir kesemua pemain bola sepak.
Berdasarkan statistik, Jairo hanya mencatatkan penampilan di pusingan kelayakan pertandingan terbabit, iaitu ketika bersama kelab Slovakia, AS Trencin pada musim 2015/16.
Meskipun dia mempunyai sembilan penampilan dalam Liga Europa UEFA (UEL), ia belum cukup untuk menghidangkan pengalaman berharga seperti mana boleh diraih dalam saingan UCL.
Lebih mengecewakan lagi, penantian itu sebenarnya boleh ditamatkan sekiranya Jairo tidak meninggalkan kelab Cypurs, Pafos FC yang merupakan pasukan terakhirnya sebelum berkelana ke JDT.
Pafos FC mencatatkan sejarah tersendiri selepas melayakkan diri buat kali pertama ke fasa liga UCL. — Agensi
Ini selepas kelab bimbingan Juan Carlos Carcedo berkenaan mencipta sejarah sendiri apabila melayakkan diri buat kali pertama ke fasa liga UCL berikutan kejayaan di peringkat kelayakan.
Juara bertahan liga Cyprus itu menundukkan wakil Serbia, Red Star Belgrade menerusi agregat 3-2 untuk menempah slot berharga selepas berkali-kali mencuba nasib.
Kejayaan berkenaan sememangnya bermakna, lebih-lebih lagi selepas kehilangan Jairo yang pernah diberi peranan kapten pasukan musim lalu kerana sumbangannya amat penting sepanjang kempen.
Meskipun tidak dapat menikmati pengalaman dalam pertandingan tertinggi di Eropah itu, dia masih berpeluang mengumpul minit permainan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite bersama skuad Harimau Selatan.
Dalam saingan tersebut, Jairo bersama JDT akan menempuh cabaran hebat dalam lapan perlawanan di fasa liga, termasuk berdepan tiga lawan dari Jepun yang sudah tentu memberi saingan menggerunkan seperti mana pernah dialami sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram