
PEMAIN sayap kelahiran Sepanyol, Juan Muniz sah meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tiga musim beraksi bersama kelab gergasi tanah air itu.
Berita tersebut dikongsikan sendiri oleh Muniz melalui akaun Instagram peribadinya, @juanmunizg20, yang mana dia mengucapkan penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta Pengarah Sukan JDT, Kiko Insa atas kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh bersama kelab.
Keputusan Muniz meninggalkan JDT dipercayai akibat persaingan sengit merebut tempat dalam kesebelasan utama, terutamanya apabila nombor jersi miliknya, nombor 20 kini digunakan oleh pemain baharu, Teto Martin.
BACA LAGI: Tak sampai 2 bulan uji taring Harimau Malaya, negara di barat Afrika kini selangkah ke Piala Dunia
BACA LAGI: [VIDEO] Anak Syihan hiburkan hati fans di SSI, buat ‘plot twist’ depan gol
Juan Muniz dilaporkan akan berhijrah ke bumi Australia. — Instagram/juanmuniz
Walaupun tidak lagi bersama JDT, Muniz meninggalkan legasi yang cukup besar termasuk dinamakan antara tiga calon akhir Pemain Import Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025, yang akhirnya dimenangi rakan sepasukannya, Bergson da Silva.
Antara detik paling manis buat Muniz adalah ketika menjaringkan hatrik dalam aksi final Piala FA 2024, membantu JDT membelasah Selangor 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Dalam perkembangan terkini, Muniz dilaporkan semakin hampir melengkapkan perpindahan ke kelab Adelaide United yang beraksi dalam Liga Australia (A-League), menurut laporan 7News Adelaide.
Sekiranya perpindahan itu dimuktamadkan, bekas pemain Sporting Gijon itu bakal mengikut jejak beberapa pemain Sepanyol lain yang mencuba nasib di bumi Australia.
Muniz dijangka tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri bersama Adelaide United memandangkan bekas pemain JDT, Anselmo Moraes turut beraksi bersama kelab tersebut.
Geraldes hanya sempat merekodkan satu penampilan bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Anselmo menyertai pasukan Liga Australia tersebut selepas meninggalkan Harimau Selatan pada akhir musim 2024/25.
Perkembangan itu sekali lagi mengesahkan trend penghijrahan pemain JDT ke Liga Australia.
Sebelum ini, pemain sayap kelahiran Portugal, Chico Geraldes turut meninggalkan Harimau Selatan selepas gagal menyesuaikan diri dengan saingan Liga Super.
Geraldes hanya sempat membuat satu penampilan dalam saingan Piala FA sebelum dipinjamkan ke Wellington Phoenix di Australia pada Februari musim ini.
Pemain berusia 29 tahun itu sempat mencatat lima penampilan, menjaringkan satu gol dan satu bantuan gol sebelum mengalami kecederaan serius pada April lalu yang memaksanya berehat selama tiga bulan.
Luis Garcia (kanan) kini menggalas tugas sebagai CEO JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Selain Muniz dan Geraldes, legenda Liverpool dan kini CEO JDT, Luis Garcia turut pernah beraksi dalam Liga Australia bersama Central Coast Mariners membuktikan hubungan erat antara JDT dan bola sepak Australia.
Pemain kelahiran dari Sepanyol itu membawa pengalaman kelas dunia ke liga tersebut selepas mencatat pencapaian gemilang bersama Liverpool, termasuk memenangi Liga Juara-Juara UEFA 2005 dan Piala FA 2006.
Sepanjang kariernya di Liverpool, Luis García terkenal dengan kreativiti, visi permainan, dan gol-gol penting termasuk gol kontroversi 'ghost goal' dalam Liga Juara-Juara UEFA 2006.
Kehadirannya di Central Coast Mariners bukan sahaja menambah kualiti pasukan tetapi juga menandakan hubungan erat antara bola sepak Malaysia dan Australia, yang kini terus diperkukuh melalui peranannya sebagai CEO JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram