Penyokong Man United boleh lupakan EPL, Liverpool dan Arsenal paling cerah bergelar juara


  • Podium
  • Rabu, 10 Sep 2025

CIES Football Observatory yang menggunakan model superkomputer menunjukkan Manchester United hanya ada peluang 2.6 peratus untuk bergelar juara. — Agensi

PENYOKONG Manchester United mungkin perlu melupakan impian untuk melihat pasukan kesayangan mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas kajian statistik terbaharu hanya memberi mereka peluang 2.6 peratus untuk bergelar juara.

Kajian itu dilakukan oleh CIES Football Observatory yang menggunakan model superkomputer berdasarkan data sukan, ekonomi serta demografi termasuk hantaran ke kawasan berbahaya dan nilai perpindahan pemain.

Menurut laporan tersebut, Liverpool muncul pilihan utama untuk mengekalkan kejuaraan EPL dengan kebarangkalian 28.9 peratus selepas skuad kendalian Arne Slot itu menamatkan musim lalu 10 mata di hadapan Arsenal.

BACA LAGI: [VIDEO] Berdepan Brunei, 'malapetaka' menanti seluruh Sarawak jika tidak ambil iktibar final Piala Malaysia 1999

BACA LAGI: Bukan mudah serasi DNA Harimau Selatan, bintang Afrika dan Argentina sudah cukup jadi bukti

Arsenal pula diberikan 18.8 peratus peluang, diikuti Chelsea (16.2%) yang berada di hadapan juara 10 kali, Manchester City (14.4%).

United, yang kali terakhir menjulang EPL pada musim 2012-13, berada jauh di belakang dengan hanya 2.6 peratus sekali gus menjadikan harapan penyokong mereka semakin pudar.

Sementara itu, bagi liga utama Eropah lain, Real Madrid diramal kembali menguasai La Liga (40.6%) mengatasi Barcelona (29.6%), manakala Bayern Munich kekal pilihan utama Bundesliga dengan 61.4 peratus.

Dalam Serie A, Inter Milan (25.6%) muncul calon paling kuat diikuti Juventus (18.2%) dan Napoli (17.4%), manakala Paris Saint-Germain hampir pasti mengekalkan kejuaraan Ligue 1 buat kali kelima berturut-turut dengan 73.0 peratus.

CIES turut mendedahkan Red Star Belgrade di Serbia memiliki kebarangkalian tertinggi untuk menjuarai liga domestik di Eropah dengan 76.2 peratus. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram