
SEPANJANG jendela tugasan antarabangsa baru-baru ini, Harimau Malaya mengerah khidmat bintang Liga Super yang memastikan dua kemenangan ke atas Singapura dan Palestin.
Nama-nama besar seperti Joao Figueiredo, Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi merupakan antara tonggak negara dipanggil Peter Cklamovski selepas bersinar dalam saingan peringkat domestik.
Malah, jendela kali ini turut menyaksikan beberapa pemain lain dipanggil ke kem latihan negara masing-masing dengan ada daripadanya beraksi dalam perlawanan persahabatan sementara ada pula terlibat dalam kempen kelayakan.
BACA LAGI: 'Wahai Selangor dan Terengganu, manfaatkanlah tempoh rehat di padang latihan'
BACA LAGI: ‘Entahlah, tak tahu bila nak jaringkan gol’, Wirtz masih sesuaikan diri bersama Liverpool
Rata-rata pemain Harimau Malaya yang dipanggil beraksi dalam Liga Super. — Facebook/Malaysia NT
Kepercayaan dicurahkan itu sekali gus membuktikan arena Liga Super wajar diangkat sebagai satu saingan kompetitif sehingga membuatkan negara luar percaya akan kualiti import sesetengah pasukan.
Meskipun tidak semua daripadanya turun beraksi sepanjang jendela lalu, penglibatan di kem latihan mahupun kelibat di bangku simpanan sudah cukup menceritakan mutu dimiliki pemain dimaksudkan.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga pemain yang dipanggil untuk berkhidmat buat negara masing-masing selepas menjadi watak penting di peringkat kelab.
1. Muhammad Abualnadi (Selangor FC)
Baru-baru ini, skuad Gergasi Merah kian terkenal di persada antarabangsa kerana dua daripada pemainnya melakar sejarah apabila membantu Jordan melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.
Mereka merupakan Muhammad Abualandi dan Noor al-Rawabdeh yang masing-masing cemerlang dalam peranan tersendiri, termasuk ketika diturunkan di pentas antarabangsa.
Malah, ketika aksi persahabatan berdepan Rusia, khidmat salah seorang daripada mereka, iaitu Abualnadi ditagih apabila dia berada 90 minit dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Noor al-Rawabdeh bagaimanapun terlepas peluang bertemu negara Eropah itu kerana masih berada dalam proses mendapatkan kecergasan penuh susulan kecederaan anterior krusiat ligamen (ACL) dialami sebelum ini.
Meskipun jeneral di posisi tengah itu tidak dipanggil, peminat Merah Kuning pasti terus berbangga kerana salah seorang daripada import mereka mempunyai kualiti untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
Tidak cukup dengan itu, sekiranya terus berada bersama Selangor FC sehingga saingan Piala Dunia bermula, ini akan melakar sejarah baharu kerana tiada import pernah mewakili negara masing-masing dalam pertandingan itu semasa beraksi dalam Liga Super.
2. Luis Enrique (Negeri Sembilan FC)
Meskipun nama-nama import dibawa masuk tidaklah begitu terkenal, Negeri Sembilan FC membuktikan setiap keputusan dibuat membuahkan hasil kerana semua daripada mereka mula serasi dalam pasukan.
Salah seorang daripadanya ialah bek tengah, Luis Enrique Nsue yang menjadi tonggak pertahanan penting dengan empat penampilan secara keseluruhan sudah direkodkan.
Malah, pemain tersebut turut menjadi watak penting semasa skuad Jang bangkit daripada ketinggalan dua gol berdepan Kuching City FC dengan jaringan lewat pemain itu memastikan satu mata berharga dibawa pulang.
Luis Enrique berada dalam kem latihan Equatorial Guinea, namun tidak berkesempatan untuk beraksi. — Instagram/Luis Enrique Nsue
Hasil daripada kesungguhan dicurahkan menyaksikan Luis Enrique terpanggil untuk mewakili negaranya, Equatorial Guinea ketika Kelayakan Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, daripada kedua-dua perlawanan itu, dia hanya diletakkan di bangku simpanan sementara menyaksikan pasukannya mencatat tiga mata penuh berdepan Sao Tome and Principe sebelum tewas di tangan Tunisia.
Luis Enrique masih berpeluang menambah koleksi penampilannya buat negara Afrika itu apabila mereka akan berdepan Malawi dan Liberia dalam Kelayakan Piala Dunia pada jendela akan datang.
3. Ramadhan Sananta (DPMM FC)
Setakat ini, DPMM FC masih menunggu kemenangan pertama dalam Liga Super memandangkan pasukan itu sedang dalam proses menyesuaikan diri selepas baru sahaja diumumkan sebagai kelab jemputan bagi musim ini.
Namun, ini bukanlah alasan untuk mengatakan rata-rata pemainnya tidak mempunyai kualiti kerana sesetengah dari mereka masih dipanggil bagi mewakili negara masing-masing pada jendela FIFA yang lalu.
Ini termasuk penyerang muda dari Indonesia, Ramadhan Sananta yang mempunyai potensi cukup besar memandangkan sudah beraksi di peringkat antarabangsa sebanyak 15 kali walaupun baru sahaja berusia 22 tahun.
Ramadhan (atas) menjaringkan satu gol buat Indonesia ketika berdepan Taiwan. — Instagram/Ramadhan Sananta
Malah, semasa jendela FIFA yang terbaru, pemain itu terlibat dalam kedua-dua perlawanan persahabatan berdepan Taiwan dan Lubnan di laman sendiri.
Aksi menentang Taiwan turut menyaksikan Ramadhan menjaringkan satu gol semasa negaranya menundukkan pihak lawan menerusi keputusan 6-0 yang sememangnya memeriahkan venue perlawanan.
Bagaimanapun, semasa perlawanan seterusnya berdepan Lubnan, dia hanya sempat beraksi pada enam minit terakhir kerana pengendali, Patrick Kluivert meletakkan Mauro Zijlstra dalam kesebelasan utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram