‘Entahlah, tak tahu bila nak jaringkan gol’, Wirtz masih sesuaikan diri bersama Liverpool


  • Podium
  • Selasa, 09 Sep 2025

Wirtz dilabel sebagai perpindahan gagal meskipun baru sahaja tiga perlawanan berlangsung. — Agensi

SEPANJANG jendela perpindahan musim panas, Liverpool membuat pelaburan besar dengan membelanjakan €482.9 juta (RM2.3 bilion) untuk menambah baik kualiti pasukan.

Ini termasuk memecahkan rekod perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi membawa masuk khidmat penyerang antarabangsa Sweden, Alexander Isak dari Newcastle United.

Perbelanjaan itu dilihat mula membuahkan hasil memandangkan skuad The Reds masih mengekalkan rekod 100 peratus dalam liga setelah tiga aksi sebelum jendela FIFA dibuka.

BACA LAGI: Hanya tunggu ujian perubatan, bintang Jerman semakin hampir sarung jersi Liverpool

BACA LAGI:[VIDEO] Dengan hanya mengangguk, bintang Jerman beri isyarat teruja hampir sertai Liverpool

Wirtz masih belum membawa impak cukup besar buat Liverpool setakat ini. — Agensi

Bagaimanapun, dari segi persembahan individu, anak-anak buah Arne Slot belum berada di tahap terbaik, terutamanya Florian Wirtz yang dibawa masuk dari Bayer Leverkusen dengan yuran mencecah €125 juta (RM616 juta).

Daripada tiga penampilan EPL, pemain berusia 22 tahun itu belum membawa sebarang sumbangan di hadapan pintu gol dengan persembahannya secara keseluruhan belum cukup memuaskan.

Ini sekali gus membuatkan rata-rata media di England melabelnya sebagai perpindahan yang gagal meskipun masih terlalu awal untuk membuat penilaian ke atas pemain tengah menyerang itu.

Menyedari kritikan dilemparkan ke arahnya, Wirtz tidak putus semangat dan sebaliknya berikrar untuk terus menyumbang buat Liverpool di pentas domestik mahupun Eropah.

Wirtz membuktikan dirinya mempunyai kualiti selepas mencetak gol menerusi sepakan percuma buat Jerman. — Agensi

"EPL merupakan liga yang berbeza dengan gaya permainan berlainan, tetapi saya gembira untuk terus berada di sana. Saya juga tidak tahu bila gol pertama saya dapat dihasilkan.

"Saya berharap jaringan itu akan datang dalam masa terdekat, namun saya yakin ia akan dihasilkan dalam masa terdekat," katanya selepas membantu Jerman meraih kemenangan ke atas Ireland Utara dalam Kelayakan Piala Dunia 2028.

Meskipun bergelut di peringkat kelab, Wirtz masih mempunyai peranan penting buat negaranya selepas menjaringkan gol menerusi sepakan percuma untuk memastikan kemenangan 3-1.

Sekiranya rentak tersebut dapat diteruskan, dia sudah tentu akan menjadi aset utama buat Liverpool yang mahu mengekalkan kejuaraan EPL selain menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA.

Skuad The Reds akan berdepan Burnley dalam perlawanan yang bakal berlangsung pada Ahad depan sebelum menerima kunjungan Atletico Madrid pada 18 September untuk aksi pertama di pentas Eropah musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram