Chelsea ada masa kurang 2 minggu jawab 74 pertuduhan langgar peraturan


  • Podium
  • Khamis, 11 Sep 2025

Chelsea kini berdepan denda besar selepas hadapi 74 pertuduhan FA. — Agensi

KELAB Liga Perdana Inggeris, Chelsea kini berdepan 74 pertuduhan daripada Persatuan Bola Sepak England (FA) berhubung pelanggaran peraturan melibatkan ejen, perantaraan dan pelaburan pihak ketiga dalam pemain, yang berlaku antara 2009 hingga 2022.

Menurut FA, semua pertuduhan tersebut merujuk kepada urus niaga yang berlaku ketika kelab itu berada di bawah pemilikan Roman Abramovich terutamanya dalam tempoh musim 2010/11 hingga 2015/16.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan di platform X, FA memaklumkan Chelsea didakwa melanggar enam peraturan utama termasuklah Peraturan J1 dan C2: Berkaitan ejen, Peraturan A2 dan A3: Berkaitan kerjasama dengan perantara, Peraturan A1 dan B3: Berkaitan pelaburan pihak ketiga dalam pemain.

BACA LAGI: Tak pelik pun pemain JDT hijrah ke Liga Australia, legenda Liverpool lebih awal ambil langkah sama

BACA LAGI: [VIDEO] Anak Syihan hiburkan hati fans di SSI, buat ‘plot twist’ depan gol

“Kesemua 74 pertuduhan itu melibatkan transaksi yang berlaku dalam tempoh antara musim 2010/11 hingga 2015/16,” katanya.

Chelsea kini dimiliki oleh konsortium BlueCo yang diketuai Todd Boehly dan Clearlake Capital yang mengambil alih kelab tersebut pada Mei 2022 selepas Abramovich dikenakan sekatan oleh kerajaan UK susulan konflik Rusia-Ukraine.

Menerusi kenyataan balas rasmi, Chelsea memaklumkan bahawa kesemua pelanggaran itu telah dikenal pasti melalui proses audit sewaktu pengambilalihan dan mereka telah melaporkannya secara sukarela kepada FA dan pihak berkuasa berkaitan.

“Pemilikan baharu mengenal pasti kemungkinan ketidaklengkapan dalam laporan kewangan terdahulu. Setelah pengambilalihan selesai, kami segera melaporkannya kepada pengawal selia,” jelas kelab tersebut.

Chelsea turut menegaskan mereka telah memberi akses penuh kepada semua dokumen dan maklumat berkaitan, serta komited bekerjasama sepenuhnya dengan FA bagi menyelesaikan kes ini.

“Kami berterima kasih kepada FA atas kerjasama dalam isu rumit ini yang berkaitan urusan lebih 10 tahun lalu,” tambah kenyataan itu.

Difahamkan, sebahagian besar pertuduhan tersebut melibatkan bayaran kepada ejen yang tidak direkodkan dengan betul termasuk dalam urus niaga melibatkan pemain seperti Eden Hazard, Samuel Eto’o dan Willian.

Bagaimanapun, Chelsea menegaskan bahawa mereka tidak mendapat kelebihan sukan hasil daripada pelanggaran tersebut dan akan berhujah bahawa hukuman dalam bentuk sukan tidak sepatutnya dikenakan.

Setakat ini, FA masih menjalankan siasatan lanjut dan kelab diberi tempoh sehingga 19 September 2025 untuk memberikan maklum balas rasmi terhadap kesemua pertuduhan itu.

Antara bentuk hukuman yang mungkin dikenakan termasuk, denda kewangan, penyelesaian luar mahkamah dan larangan saingan atau penggantungan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram