
PERPINDAHAN kapten Harimau Malaya, Dion Cools dari Buriram United di Thailand ke Jepun, Cerezo Osaka bulan lalu menjadi buah mulut ramai meskipun sebelum ini, terdapat lambakan pemain pernah ke negara Matahari Terbit itu.
Ini kerana pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu menyertai kelab ternama yang pernah menjuarai liga utama Jepun selain berkali-kali layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Pendedahan diterima di kelab tersebut akan secara tidak langsung menaikkan mutu bola sepak tempatan yang berada dalam landasan tepat untuk kembali digeruni di rantau Asia.
BACA LAGI: Penyambung warisan Dion Cools, duo Terengganu dan bintang Sabah disebut-sebut 'terbang' ke Thailand
BACA LAGI: Tepis kecaman fans Indonesia, Dion Cools disambut meriah siap ada lagu di Cerezo Osaka
Dion Cools (tengah) ketika aksi UCL antara FC Midtjylland dan Liverpool. — Agensi
Tidak cukup dengan itu, Dion Cools yang baru berusia 29 tahun berpeluang terdedah dalam landskap lebih kompetitif meskipun pernah beraksi di liga sekitar Eropah.
Hal itu kerana Liga J1 musim ini dibarisi lambakan pemain import dan tempatan berkualiti yang masing-masing mempunyai pengalaman luas sepanjang karier, termasuk beraksi di Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Dion Cools juga tidaklah asing dalam kejohanan berprestij itu kerana sepanjang bertahun-tahun dihabiskan di Eropah, dia mengumpul 16 penampilan, termasuk di peringkat kelayakan buat FC Midtjylland dan FC Club Brugge.
Bagaimanapun, peluang berdepan tiga pemain dengan pengalaman dalam UCL akan mendedahkan bek serba boleh itu dengan perasaan baharu, lebih-lebih lagi apabila dia akan berentap dalam liga ternama itu.
1. Valere Germain
Salah seorang import paling terkenal dalam saingan Liga J1 musim ini merupakan bekas pemain Bawah 23 Tahun (B-23) Perancis, Valere Germain yang kini beraksi buat Sanfrecce Hiroshima.
Dia yang menyertai kelab tersebut pada Februari lalu sudah menjadi watak penting pasukan dengan 12 penampilan direkodkan dalam semua kejohanan, termasuk ACL Two berdepan Lion City Sailors dari Singapura.
Germain membantu Monaco melangkah ke separuh akhir UCL pada 2016/17. — Agensi
Keputusan mendapatkan khidmatnya adalah kerana Germain mempunyai pengalaman luas beraksi di Perancis, terutamanya ketika mewakili dua kelab ternama di negara itu, AS Monaco dan Olympique de Marseille.
Selain beraksi di peringkat domestik, pemain berusia 35 tahun itu juga pernah diturunkan dalam kempen UCL sebanyak 24 kali sepanjang kariernya dengan kejayaan membantu AS Monaco ke peringkat separuh akhir pada 2016/17 merupakan pencapaian terbaiknya.
Germain yang merupakan seorang penyerang berpeluang berdepan Dion Cools ketika kedua-dua pasukan itu bertemu dalam saingan liga pada 31 Ogos depan dengan peminat bola sepak tanah air pasti enggan terlepas menyaksikannya.
2. Alexander Scholz
Nama bek tengah dari Denmark, Alexander Scholz tidak lagi asing kerana dia turut terlibat ketika Johor Darul Ta'zim (JDT) mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah penyertaan ACL.
Ini kerana pemain tersebut pernah mewakili Urawa Reds selama tiga musim bermula 2021 sebelum kembali ke Jepun pada Januari lalu untuk menyertai FC Tokyo selepas menghabiskan tempoh setahun di Qatar.
Bagaimanapun, lama sebelum mencipta nama di Asia, bek berusia 32 tahun terbabit terlebih dahulu berkelana sekitar Eropah dengan kelab seperti Club Brugge dan FC Midtjylland merupakan antara kelab diwakilinya.
Scholz ketika menyempurnakan sepakan penalti buat FC Midtjylland. — Agensi
Meskipun pasukan disertainya tidak begitu dikenali, Scholz masih berpeluang menimba pengalaman di pentas UCL dengan 10 penampilan direkodkan semasa beraksi buat FC Midtjylland pada musim 2020/21.
Lebih menarik lagi, ketika itu, dia merupakan rakan sepasukan Dion Cools dengan kedua-duanya beraksi semasa kelab Denmark itu mengikat Liverpool 1-1 dengan gol penyamaan dijaringkan bek FC Tokyo itu.
Meskipun rekodnya di kejohanan beprestij Eropah tersebut tidaklah begitu memberangsangkan, tempohnya di Asia lebih diingati kerana Scholz pernah menjuarai ACL 2022 bersama Urawa Reds
3. Aleksandar Cavric
Pendahulu Liga J1 ketika ini, Kashima Antlers memiliki lambakan pemain berkualiti, sama ada dalam kalangan tempatan mahupun import yang membolehkan pasukan tersebut mempunyai kelebihan empat mata berbanding pencabar terdekat.
Salah seorang daripadanya ialah Aleksandar Cavric yang pada awalnya hanya tiba dengan status pinjaman, namun khidmatnya dikekalkan kerana kelab tersebut amat tertarik dengan khidmatnya.
Majoriti daripada karier Cavric dihabiskan di Slovenia buat Slovan Bratislava. — Agensi
Ini kerana penyerang tinggi lampai tersebut pernah beraksi buat beberapa pasukan di negara kerdil sekitar Eropah dengan pasukan Slovenia, Slovan Bratislava merupakan kelab utamanya.
Sepanjang kira-kira lapan tahun di sana, Cavric pernah menjuarai pelbagai kejayaan dengan pengalaman beraksi di UCL merupakan antara momen terbaik buatnya meskipun tidak pernah melepasi peringkat kumpulan.
Dion Cools berpeluang bertemu penyerang tersebut ketika kedua-dua pasukan dijadualkan berdepan pada September depan dengan pertemuan sebelum ini diungguli Cerezo Osaka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram