Aksi lebih sengit menanti STL Champions Cup, 5 pasukan luar negara tunggu wakil tempatan


  • Podium
  • Rabu, 27 Ogos 2025

Kemeriahan sukan sepak takraw tempatan diteruskan dengan saingan STL Champions Cup bermula awal bulan depan.

PEMINAT sukan sepak takraw disajikan pelbagai momen mengujakan sepanjang Liga Sepak Takraw (STL) 2025 dengan sebanyak enam negeri dipilih sebagai venue bagi lokasi Grand Prix (GP).

Bagaimanapun, bagi kemeriahan sukan tersebut tidak terhenti di situ kerana STL Champions Cup akan diadakan sejurus tamat sahaja aksi GP Penang pada Ahad depan.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Karisma, Negeri Sembilan itu akan berlangsung selama empat hari bermula 3 September depan dengan sebanyak 10 pasukan akan berentap.

BACA LAGI: Negeri Sembilan Antlers pertahan gelaran, juara STL Champions Cup 2024

BACA LAGI: Tersingkir dari STL Champions Cup, fans Perak Bison mula rindui tekong import musim lalu

Nicholas menceritakan pentingnya saingan STL Champions Cup dalam edisi STL kali ini.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, STL Champions Cup menjadi detik penting dalam perjalanan kejohanan sepak takraw itu musim ini.

"Buat kali ketiga, kami membawakan pasukan jemputan antarabangsa untuk menghangatkan gelanggang dan kali ini lebih meriah dengan penyertaan 10 pasukan berbanding lapan pasukan musim lalu.

"Ini pastinya menjanjikan lebih banyak perlawanan, aksi lebih sengit serta drama yang lebih mendebarkan. Kami juga teruja kerana edisi berprestij ini akan berlangsung buat julung kalinya di Stadium Karisma, Negeri Sembilan," katanya.

Penganjuran di venue tersebut adalah istimewa kerana ia merupakan gelanggang milik juara bertahan STL Champions Cup, Negeri Sembilan (NS) Antlers.

Pasukan luar yang dijemput bagi edisi kali ini merupakan Ratchaburi Takraw Club (Thailand), Japan Sepaktakraw, Korea KTSA, India Fighters serta Singapore MGPC.

NS Antlers merupakan juara bertahan STL Champions Cup selepas memenanginya sebelum ini.

Nicholas turut mengharapkan penganjuran kejohanan tahunan itu dapat menarik ramai peminat ke venue pada hari perlawanan seperti mana dapat disaksikan dalam beberapa perlawanan epik sepanjang STL musim ini.

"Saya yakin kehadiran penyokong setia akan mencipta suasana luar biasa, seperti yang kita saksikan baru-baru ini dalam pertemuan Perak Bison menentang Kelantan Warriors di final STL Premier GP Perak.

"Perlawanan tersebut mencatatkan tontonan tertinggi musim ini, dan kami percaya kehangatan serta sokongan hebat itu akan terus bergema dan lebih meriah kali ini,” tulisnya.

Setakat ini, senarai pasukan tempatan yang akan berentap dalam STL Champions Cup masih belum diputuskan kerana pasukan dalam kelompok lima teratas hanya akan diketahui selepas tamatnya GP Penang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram