
LEGENDA sepak takraw Thailand, Pornchai ‘Pui’ Kaokaew, yang digelar ‘dewa’ oleh peminat sukan berkenaan mengumumkan persaraannya secara rasmi pada usia 44 tahun.
Atlet yang cukup disegani di gelanggang itu berkongsi pengumuman tersebut menerusi hantaran di laman Facebook, Pornchai Kaokaew TK Club sejurus mengetuai pasukan Tentera Diraja Thailand menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Thailand baru-baru ini.
Pornchai turut meluahkan penghargaan kepada keluarga, Persatuan Sepak Takraw Thailand, Tentera Diraja Thailand, jurulatih, rakan sepasukan, serta pihak media yang selama ini memberi sokongan tanpa henti.
BACA LAGI: STL 2025 tambah lokasi GP, wujudkan sistem kelas lebih ‘drama’
“Sudah tiba masanya untuk saya ucapkan terima kasih kepada semua. Hari ini secara rasminya saya mengucapkan selamat tinggal sebagai atlet kebangsaan Thailand.
“Walaupun kerjaya saya sebagai atlet sudah berakhir, perjalanan saya dalam dunia sepak takraw masih belum selesai. Saya akan terus berada di sini untuk meneruskan apa yang saya cintai dan percaya sepanjang hidup saya,” katanya dalam hantaran itu.
Pengumuman persaraan itu mendapat perhatian ramai, termasuk pengulas sukan sepak takraw tempatan, Mohsen Adam yang berkongsi kenangan ketika bertemu Pornchai dua tahun lalu.
Ketika itu, legenda berkenaan mengakui berasa gusar untuk berkunjung ke Kuala Lumpur kerana menyangka dirinya tidak digemari oleh peminat Malaysia.
Namun sebaliknya, Pornchai disambut dengan penuh mesra dan menjadi tumpuan ketika hadir buat pertama kali ke negara ini sebagai jemputan.
“ ‘Saya takut untuk ke Kuala Lumpur.’ ‘Aikk kenapa pula?’. ‘Orang Malaysia tak suka saya’. ‘Mustahil.. peminat sepak takraw Malaysia sukakan kamu kalau tak percaya. Jom kita rakam video dan saya siarkan di BolarotanTV’.
“Selebihnya sejarah. Itulah dialog antara saya dan Pornchai Kaokeaw hampir dua tahun lalu sebelum dia di bawa ke Malaysia untuk kali pertamanya sebagai jemputan, bukan pemain.
“Dia adalah legenda hidup sepak takraw. Disiplin tinggi, permainan hebat, sopan santun dan daya juang luar biasa menjadikan Pornchai dipuja peminat serata dunia,” kata Mohsen.
Selain digelar ‘dewa’ oleh penyokong Thailand, popularitinya juga dikatakan mengatasi nama besar lain seperti Suebsak Puensab hasil prestasi serta ketokohan yang sukar ditandingi.
Walaupun meninggalkan gelanggang sebagai pemain, ramai percaya Pornchai bakal terus mewarnai dunia sepak takraw dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram