[VIDEO] 'Gulung tunggang terbalik pun teknik blocking kena padu', regu negara patut contohi usaha Jepun-Myanmar 


  • Podium
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Noraizat antara pemain sepak takraw kebangsaan mempunyai teknik hadangan yang baik. — Facebook/PerakBison

MALAYSIA tidak seharusnya hanya bergantung kepada libasan semata-mata untuk menyaingi kuasa besar sepak takraw dunia, sebaliknya perlu memberi fokus serius terhadap aspek blocking atau hadangan.

Pengulas sukan sepak takraw, Mohsen Amdan berkata, anggapan bahawa Malaysia tidak mampu menyaingi Thailand kerana kelemahan libasan adalah tidak tepat, sebaliknya kelemahan sebenar terletak pada sistem pertahanan yang kurang menekankan latihan hadangan. 

Pandangan itu diutarakan oleh Mohsen yang melihat lebih ramai penyokong sepak takraw tanah air gemar melihat pemain melakukan pelbagai jenis libasan demi meraih mata, sekali gus ia dilihat lebih menarik untuk ditonton. 

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Ustaz Solihin’ turun stadium, reaksi Zul Ariffin warnai Perak Bison rangkul GP Perak

BACA LAGI: Pakar lipat gulung Thailand 'suka bebenor' GP Perak, rasa seperti superstar main di STL

Bagaimanapun, arena sukan bola rotan tanah air itu hakikatnya mempunyai dua pemain muda sedang meningkat naik iaitu Noraizat Nordin dan Azim Azizul boleh menjadi kunci kekuatan hadangan jika menghadapi Thailand atau negara lain. 

"Ramai penyokong claim bahawa kita tak boleh bersaing dengan Thailand sebab teknik libasan. Malaysia lebih dikenali dengan teknik sunback, spike atau maniam. Kalau Thailand pula lebih kepada role spike.

"Sebenarnya isu ini bukan masalah role spike atau sunback. Tapi kita punya defense macam mana. Contoh bila Aizat dan Azim mempunyai blocking bagus, maksudnya mereka ada usaha melatih diri blocking

"Jadi blocking mereka ini, tidak kisahlah apa jenis teknik gulung sekali pun atau lawan Thailand mahupun Indonesia, memang tak lepas dengan mereka. Memang bukan semuanya kena. Tapi kalau kita betul-betul fokus pada blocking dalam latihan, ada baiknya," katanya kepada Majoriti. 

Pengulas sukan sepak takraw, Mohsen Amdan (depan). 

Mohsen tidak sekadar bercakap kosong berikutan dia mengambil contoh beberapa negara yang terbukti menjadikan teknik hadangan sebagai senjata utama negara-negara seperti Jepun, Myanmar dan Vietnam. 

Pasukan kebangsaan sepak takraw Jepun melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai acara Kudran Lelaki pada Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand ke-38 pada Julai 2025.

"In fact kalau kita tengok di Kings Cup pun, Jepun contohnya menang baru-baru ini kan. Salah satu faktornya adalah blocking. Jadi kita tak boleh mengambil mudah mengenai latihan blocking.

"Jika tak menang libasan dengan Thailand, lebihkan kepada blocking. Teknik itu terbukti apabila Jepun berjaya lakukan perkara itu. Jepun blocking power. Jepun sebenarnya dah praktikkan hadangan double blocker ini dah lebih 10 tahun.

"Mereka dah semakin cekap blocking dengan baik. Malaysia dan Thailand masih tak nak fokus kepada blocking. Sedangkan Myanmar, Vietnam, Korea memang dah sangat fokus kepada blocking as a mechanism untuk dapatkan mata," ujarnya.

Tangkap layar hantaran Mohsen mengenai teknik hadangan. 

Menurut Mohsen, latihan hadangan sering dipandang sepi kerana dianggap menyakitkan dan membosankan, sedangkan dalam sistem 15 mata ketika ini, ia mampu menjadi penyumbang mata yang besar dengan peluang sehingga 60 peratus untuk mendapatkan mata.

Mohsen menambah, Malaysia dan Thailand sebenarnya masih ‘senasib’ kerana tidak mengaplikasikan blocking secara taktikal, sebaliknya sekadar bergantung kepada asas sahaja. 

Namun, Malaysia boleh memulakan langkah lagi-lagi mempunyai pemain muda seperti Noraizat dan Azim yang memberi sinar baharu kerana mereka mampu membaca pergerakan lawan dengan baik.

Jepun menjuarai acara Kudran Lelaki pada Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand ke-38. — Facebook/STL

"Selain dua pemain ini, sebenarnya ramai boleh diharap. Cuma isunya adalah kita jarang menyebut tentang hal ini. Kerana yang selalu kita sebut, siapakah killer yang bagus? Biasanya akan disebut libasan yang paling padu, gulungan yang paling cantik.

"Kita tak sebut benda itu (blocking). Jadi bila kita terlepas pandang bahawa blocking ini adalah penyumbang mata. Kita sebenarnya dah rugi satu komponen yang boleh meraih mata," ujarnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram