
PENANG Black Panther tetap optimis untuk mengekalkan kedudukan dalam saingan Division 1 biarpun berdepan cabaran kecederaan pemain utama dan pertukaran venue menjelang Grand Prix (GP) Penang.
Pengurus pasukan, Hasnul Hadi menegaskan skuadnya masih bersemangat tinggi dan menjadikan kejohanan di gelanggang sendiri sebagai pembakar semangat tambahan.
“Memang ada tekanan apabila kita beraksi di tempat sendiri, tetapi ia juga jadi motivasi untuk buktikan kita mampu bersaing.
“Latihan selepas pulang dari Ipoh, Perak berjalan baik dan pemain terus beri komitmen penuh,” katanya pada Majoriti.
Hasnul Hadi menegaskan skuadnya masih bersemangat tinggi dan menjadikan kejohanan di gelanggang sendiri sebagai pembakar semangat tambahan.
Ketika ini, Black Panthers berada di tangga ke-10 liga dengan kelebihan 18 mata di atas zon penyingkiran dengan Hasnul optimis peluang masih terbuka kerana perbezaan mata dengan pasukan di atas tidak begitu jauh.
“Dengan ATM Guardians dan Selangor Pistons, beza cuma sekitar 12 mata. Jadi sasaran kita ialah untuk naik ranking dan paling penting, kekal dalam Division 1 musim depan,” jelasnya.
Dalam masa sama, pasukan itu turut diuji dengan kecederaan tonggak muda pertahanan, Adisyazmin Zuriman Yadzri yang kini sedang menjalani pemulihan.
“Adi sekarang sedang menjalani pemulihan dan buat masa ini hanya latihan ringan.
“Harap dalam seminggu lagi dia dapat pulih sebab dia antara benteng utama pasukan walaupun masih muda,” kata Hasnul.
Black Panthers kini berada di tangga ke-10 liga dengan kelebihan 18 mata di atas zon penyingkiran.
Mengulas tentang cabaran di GP Penang, dia mengakui Selangor Pistons dan PDRM Defenders bakal menjadi lawan paling sukar.
“Kita kena cuba dapat ‘strike’ awal menentang PDRM dan Selangor, barulah fikir tentang perlawanan berikutnya.
“Saya yakin dengan semangat pemain, sama ada import mahupun tempatan, yang sentiasa beri komitmen tinggi,” ujarnya.
Hasnul turut mengesahkan pertukaran venue perlawanan dari SPICE Arena, Bayan Lepas ke lokasi di Kompleks Sukan Balik Pulau, Balik Pulau sedikit menyulitkan dari segi perjalanan, namun menegaskan ia bukan halangan besar buat pasukannya.
“Memang jauh sedikit, tapi itu tidak akan jejaskan fokus kita. Komitmen pemain tetap tinggi untuk capai misi,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram