
SAINGAN Grand Prix (GP) Perak bagi Liga Sepak Takraw (STL) 2025 menghampiri penghujungnya selepas Kelantan Warriors mengesahkan kemaraan ke pentas akhir selepas kemenangan yang diraih pada Sabtu.
Kejayaan itu dicapai buat kali pertama dalam edisi kali ini selepas anak-anak buah Suhairi Nordin menundukkan Johor Tigris menerusi keputusan 2-1 meskipun lawan mereka itu lebih digeruni dan dihormati dalam gelanggang.
Kelantan Warriors pada awalnya bergelut apabila tewas dalam set pertama menerusi keputusan 9-15 yang mendesak perubahan terpaksa dilakukan ke atas barisan pasukan.
Kelantan Warriors melangkah ke pentas akhir GP Perak selepas menundukkan Johor Tigris. — Facebook/STL
Rombakan dilakukan adalah dengan memasukkan Ahmad Aizat dan Pichet Pansan dengan ia jelas menjadi titik perubahan buat Kelantan Warriors sehingga mereka dapat mengheret aksi ke set penentuan menerusi kemenangan 15-11.
Rentak diraih jelas memainkan peranan apabila aksi lebih dominan berjaya ditampilkan dalam set ketiga yang menyaksikan pasukan Pantai Timur itu meraih kemenangan 15-6.
Perubahan dilakukan Suhairi itu sememangnya diakui peminat sebagai resipi di sebalik kejayaan kali pertama Kelantan Warriors untuk melangkah ke pentas akhir sepanjang kempen STL 2025.
"Alhamdulillah, pertukaran pada set kedua dengan memasukkan Pichet dan Aizat membuahkan hasil kepada pasukan kita. Tahniah Kelantan Warriors," kata Amir Shahmi Amram.
"Pichet berjaya memainkan peranan untuk mengheret aksi ke set 3 dan Sukrit menjadi di set penentuan itu. Wajawa adalah feeder terbaik kerana mampu membalas rejaman Hazizi dari Johor Tigris," kata Ore Klate.
Kelantan Warriors akan berdepan tuan rumah, Perak Bison yang mengesahkan tiket ke perlawanan akhir selepas menundukkan Kuala Lumpur (KL) Thunders menerusi keputusan 15-8, 15-3. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram