Pengeluar jersi Perak Bison tambah lagi stok lepas jualan laku keras


  • Podium
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Jersi biru dipakai Perak Bison dalam perlawanan akhir menentang Kelantan Warriors menjadi rebutan ramai. — Facebook/AFX Jersey

KEMERIAHAN Liga Sepak Takraw (STL) 2025 diteruskan menjelang Grand Prix (GP) terakhir yang akan berlangsung di Pulau Pinang bermula Rabu depan kerana setiap pasukan berpeluang muncul juara keseluruhan.

Ini termasuk pemenang GP terbaru, Perak Bison yang memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menumpaskan Kelantan Warriors dalam aksi final yang cukup mendebarkan.

Kejayaan di negeri sendiri itu menyaksikan skuad bimbingan Dzafrul Anuar melonjak ke kedudukan kedua secara keseluruhan dengan mereka kini hanya empat mata di belakang pendahulu, Kuala Lumpur (KL) Thunder.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Ustaz Solihin’ turun stadium, reaksi Zul Ariffin warnai Perak Bison rangkul GP Perak

BACA LAGI: Pakar lipat gulung Thailand 'suka bebenor' GP Perak, rasa seperti superstar main di STL

Perak Bison menjuarai GP perak dengan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri. Facebook/STL

Jadi, mata maksimum perlu diraih dalam GP Penang dengan peminat pasukan Utara itu sememangnya mengharapkan pasukan tersebut mampu meneruskan momentum bagi GP akan datang.

Sokongan kukuh dapat disaksikan apabila jersi Perak Bison keluaran AFX Jersey sudah habis terjual di pasaran, lebih-lebih lagi selepas kejayaan pasukan itu di gelanggang sendiri.

Pakaian rasmi Perak Bison itu sememangnya cukup laku sepanjang musim ini kerana pihak pengeluar berkali-kali menghasilkan stok baharu bagi menampung permintaan berterusan.

Ini kerana peminat cukup tertarik dengan rekaan daripada jenama tempatan itu selain berasakan pembelian tersebut dapat menaikkan lagi semangat Perak Bison dari perlawanan ke perlawanan.

Malah, baru-baru ini, AFX Jersey sekali lagi menghasilkan stok baharu bagi menampung permintaan peminat yang berusaha mendapatkan jersi masing-masing sebelum GP Penang bermula.

"Atas permintaan ramai penyokong Perak Bison, kami akan melakukan 'restock' untuk jersi keempat pasukan dengan hanya 100 helai disediakan. Terima kasih atas sokongan menggila dari anda semua.

"Pembelian boleh dilakukan bermula 5 September melalaui platfrom TikTokShop dan pembelian di kedai sahaja. Terima kasih daun keladi," tulisnya di laman Facebook.

Sepanjang edisi STL 2025, Perak Bison mengenakan empat varian jersi dengan warna berbeza, termasuk warna biru yang dikenakan ketika pasukan tersebut menundukkan Kelantan Warriors.

Jadi, tidak hairanlah apabila peminat mahu mendapatkan jersi tersebut untuk simpanan peribadi demi kenangan masing-masing sehingga memaksa pihak pengeluar menghasilkan lebih banyak stok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram