
LEGENDA Manchester United, Wayne Rooney mengecam tindakan penyerang Newcastle United, Alexander Isak, yang enggan menjalani latihan di tengah spekulasi perpindahan ke Liverpool.
Isak, 25, dilaporkan berkeras mahu meninggalkan Newcastle dengan tidak menghadiri sesi latihan, meskipun kelab itu menolak bidaan pertama Liverpool bernilai £110 juta (RM660 juta).
Namun sehingga kini, Liverpool masih belum mengemukakan tawaran kedua, manakala Newcastle belum mendapatkan pengganti di posisi penyerang.
BACA LAGI: Selangor dah banyak melabur, cuma belum menang apa-apa — Bojan Hodak
BACA LAGI: Pelantikan CEO TFC: Pengaruh saja tak cukup, cabang bola sepak berbeza — Pemerhati
Rooney menegaskan tindakan Isak boleh memakan diri sekiranya dia dipaksa kembali bersama skuad bimbingan Eddie Howe itu.
“Fakta bahawa dia enggan turun berlatih akan menyukarkan dirinya untuk kembali. Ada isu kepercayaan di situ, dan dia memilih cara yang salah. Mungkin dia mendapat nasihat yang salah,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Match of the Day.
Bekas kapten England itu turut memberi peringatan kepada Liverpool agar menilai semula sama ada Isak adalah pemain yang wajar ditandatangani.
“Kelab besar seperti Liverpool perlu fikir sama ada mereka mahu pemain yang sanggup meninggalkan rakan sepasukan dan kelab dalam keadaan begini,” katanya lagi.
Bekas pemain Man United, Wayne Rooney. — Agensi
Rooney turut mengaitkan situasi tersebut dengan pengalamannya sendiri ketika pernah meminta untuk meninggalkan Manchester United pada musim 2010/11, namun menegaskan ada cara yang betul untuk melakukannya.
Sementara itu, Alan Shearer yang turut menjadi pengacara bersama, mengkritik keras tindakan Isak yang disifatkannya tidak profesional.
“Rooney pernah mengemukakan permintaan perpindahan, tetapi dia tidak menolak untuk berlatih atau bermain. Cara Isak jelas tidak betul, dan ia tidak adil kepada pemain serta pengurus Newcastle,” kata bekas penyerang legenda itu.
Isak ketika ini masih terikat kontrak tiga tahun bersama Newcastle, sekali gus menjadikan kemungkinan perpindahannya ke Anfield semakin tipis menjelang penutupan jendela perpindahan pada 1 September. —Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram