Isteri Baihakki bersuara tegur FAS gara-gara anak digugurkan skuad sebab pilih akademik


  • Podium
  • Rabu, 27 Ogos 2025

Mika digugurkan daripada skuad B-17 Singapura gara-gara memilih untuk mendahulukan pelajaran. — Instagram/Norfasarie

ISTERI kepada bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Baihakki Khaizan iaitu pelakon dan usahawan, Norfasarie Mohd Yahya tampil menyuarakan rasa kecewa terhadap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Kekecewaan yang diluahkan Norfasarie itu diungkap selepas anak mereka iaitu Mika Bazil digugurkan daripada skuad Bawah 17 (B-17) Singapura gara-gara memilih untuk mendahulukan pelajaran.

Dalam satu hantaran di Instagram, Norfasarie menyifatkan tindakan FAS itu sebagai tidak adil apabila anaknya dihukum hanya kerana membuat keputusan bertanggungjawab untuk kekal di Singapura sebagai persediaan menghadapi peperiksaan penting GCE N Level pada 15 September.

BACA LAGI: 'Awak bukan replika ayah', bekas bek JDT kongsi mesej beremosi saksikan anak debut kebangsaan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Why not?', legenda Singapura harap anak ikut jejak sarung jersi JDT

"Bagaimana adilnya untuk menghukum seorang pemain muda negara yang komited hanya kerana memilih peperiksaan penting negara berbanding perlawanan persahabatan di Bahrain?

"Saya tidak akan melupakan hari ini, hari di mana kewajipan terhadap pendidikan dihukum dan bukannya dihargai. Inilah sebabnya Singapura terus ketinggalan dalam arena sukan!

"Anak saya, Mika Bazil sudah berterus terang dengan pihak pengurusan, dia perlu kekal di Singapura sepanjang cuti September bagi menghadiri kelas tambahan dan membuat persediaan untuk peperiksaan GCE N Level, yang bermula pada 15 September, hanya sehari selepas pasukan pulang dari Bahrain," katanya.

Norfasarie mendedahkan Mika bukan sahaja digugurkan daripada skuad, malah diminta memulangkan jersi pasukan serta dimaklumkan tidak lagi akan dipertimbangkan untuk Kejohanan AFC B-17 pada November nanti.

"Bukan kerana prestasi yang lemah. Bukan kerana masalah disiplin. Tetapi semata-mata kerana dia membuat pilihan bertanggungjawab untuk mengutamakan pendidikan," tambah ibu kepada empat cahaya mata itu.

 

 

Bukan itu sahaja, Norfasarie turut mempersoalkan mengapa pemain yang mendapat tajaan biasiswa berlatih di Sepanyol tidak dikenakan tindakan walaupun turut sama tidak menyertai perlawanan persahabatan di Bahrain.

Malah, Norfasarie juga menegaskan bahawa terdapat sembilan lagi pemain skuad remaja yang bakal menduduki peperiksaan sama, namun tidak berani menolak penyertaan kerana bimbang digugurkan.

"Ini bukan hanya tentang Mika. Ini tentang sistem. Tiada remaja seharusnya rasa terdesak untuk berkata 'ya' kerana takut digugurkan. Mereka ini sudah pun berjuang setiap hari untuk menyeimbangkan tuntutan berat bola sepak dan akademik. Namun, bukannya dibimbing, mereka dihukum. Bukannya disokong, mereka dibisukan.

"Dan kepada pengurusan baharu FAS, ketahuilah: 'halatuju baharu' anda sangat tersasar. Apabila pendidikan dianggap perkara kedua demi agenda pihak lain, itu bukan kepimpinan. Itu kegagalan," tambahnya lagi.

Baihakki memiliki empat orang anak bersama isterinya, Norfasarie. — Instagram/Norfasarie

Menurutnya, jadual perlawanan di Bahrain yang bertembung dengan tempoh persediaan akademik penting mencerminkan kelemahan perancangan serta kurangnya penyelarasan antara FAS, ibu bapa dan sekolah.

Norfasarie dalam luahannya turut menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian anaknya kerana tetap mempertahankan keutamaan akademik walaupun terpaksa berdepan risiko digugurkan daripada pasukan.

Untuk info, Mika baru-baru ini mencuri perhatian apabila membantu pasukan B-16 Singapura mencatat kemenangan besar menewaskan Kemboja 3-0 dalam perlawanan Lion City Cup dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Julai lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram