
LIGA Malaysia musim 2025/26 baru sahaja bermula, namun belum pun sebulan berlangsung, sudah lantang kedengaran kritikan daripada penyokong tempatan.
Fenomena itu bukanlah sesuatu yang baharu, memandangkan desakan penyokong agar jurulatih pasukan masing-masing dipecat sering berlaku dalam saingan bola sepak tanah air.
Desakan itu dibuat kerana ada daripada jurulatih ketika ini gagal membantu pasukan mencatat keputusan seperti mana diharapkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Ghairah buru gol, keletihan punca Selangor mudah bolos babak ke-2 — Razman Roslan
BACA LAGI: Bukan hanya sukses atas padang, Kuching City berjaya hidupkan karier 3 bintang
Selain itu, gaya permainan kurang meyakinkan menjadi punca desakan itu timbul dengan peminat mahu melihat perubahan segera di atas padang.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pengendali yang kini dikatakan berada dalam tekanan susulan prestasi hambar pasukan masing-masing.
1) Xisco Munoz
Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz turut tidak terkecuali daripada menerima tekanan dan desakan daripada sebahagian penyokong, meskipun membimbing juara bertahan itu.
Difahamkan, segelintir penyokong Harimau Selatan tidak berpuas hati dengan corak permainan dan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih dari Sepanyol itu.
Hal ini susulan prestasi JDT dalam tiga perlawanan awal liga yang dianggap tidak menepati jangkaan walaupun pasukan itu dibarisi pemain berkualiti tinggi.
Lebih mengejutkan, JDT selaku gergasi bola sepak tanah air menunjukkan prestasi yang agak berbeza berbanding musim lalu.
Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz. — Facebook/JST
Dalam perlawanan terbaru menentang Kuching City FC, JDT hanya mampu menjaringkan satu gol, sesuatu yang jarang berlaku memandangkan reputasi mereka sebagai pasukan yang sering mencatatkan kemenangan besar.
Kekecewaan penyokong semakin memuncak, dengan sebahagiannya menggesa agar khidmat Munoz ditamatkan lebih awal.
Namun begitu, prestasi semasa JDT boleh dilihat sebagai fasa penyesuaian, memandangkan mereka sedang berusaha membentuk keserasian antara pemain lama dan muka baharu dalam pasukan.
Untuk rekod, JDT masih mengekalkan rekod sempurna dengan sembilan mata penuh selepas tiga perlawanan dan kini menerajui carta Liga Super.
2) Katsuhito Kinoshi
Tidak perlu diperkenalkan lagi, Katsuhito Kinoshi yang kini membimbing Selangor FC turut menerima kecaman dan kritikan daripada penyokong setia Merah Kuning.
Walaupun membawa masuk beberapa muka baharu ke dalam skuad musim ini, prestasi Selangor masih dilihat tidak banyak berubah, tanpa sebarang peningkatan ketara di atas padang.
Dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC baru-baru ini, Selangor dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada pasukan yang menghuni tangga tercorot liga musim lalu.
Kekalahan itu ternyata sukar diterima oleh penyokong, yang mula mempersoalkan pendekatan taktikal pengendali dari Jepun itu.
Pengendali Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi. — Facebook/Selangorfc
Malah, terdapat segelintir penyokong yang sudah mendesak agar Kinoshi meletakkan jawatan, memandangkan saingan daripada kelab-kelab lain musim ini semakin kompetitif.
Untuk rekod, Selangor FC telah membawa masuk beberapa pemain import baharu musim ini, antaranya Picha Autra dari Thailand dan pemain tengah dari England, Zach Clough.
Selepas tiga perlawanan, Gergasi Merah hanya mencatat satu kemenangan dan kini berada di tangga ketujuh carta liga dengan tiga mata.
3) Badrul Afzan Razali
Ketua Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali turut berdepan tekanan hebat apabila segelintir penyokong mula mendesak agar dia berundur daripada membimbing skuad Sang Penyu.
Desakan itu timbul susulan prestasi kurang memberangsangkan pasukan dalam aksi awal Liga M musim 2025/26, dengan Terengganu gagal mencatat keputusan konsisten yang diharapkan.
Setakat ini, pasukan Pantai Timur itu mencatat dua kemenangan dan satu seri dalam saingan Liga Super, sekali gus menduduki tangga kedua carta liga.
Selain itu, corak permainan dan taktikal yang diterapkan Badrul turut dipersoalkan apabila dilihat tidak memberi impak besar serta gagal memanfaatkan kekuatan pemain sedia ada.
Pengendali Sang Penyu, Badrul Afzan Razali. — Facebook/TFC
Lebih membimbangkan, skuad kendalian Badrul Afzan kini dilihat ketinggalan dari segi persaingan berbanding kelab lain yang semakin menunjukkan peningkatan ketara dalam liga.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan sebahagian besar penyokong mula hilang keyakinan terhadap keupayaannya dalam membawa pasukan ke tahap lebih tinggi, apatah lagi dalam saingan yang semakin mencabar musim ini.
Desakan tersebut jelas mencerminkan harapan tinggi penyokong agar perubahan segera dilakukan bagi mengembalikan kegemilangan Terengganu FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram