
KEMENANGAN bergaya Negeri Sembilan FC (NSFC) ke atas Selangor FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad lalu, menjadi buah mulut peminat bola sepak apabila disaksikan lebih 25,000 penyokong setia skuad Hobin Jang Hobin.
Namun, di sebalik kejayaan tersebut, tular pula satu rakaman video memaparkan pemain dan barisan kejurulatihan bersalaman dengan tetamu kehormat di ruang VIP, sehingga mencetuskan spekulasi dan dakwaan yang mengaitkan pengurusan pasukan dengan unsur politik.
Malah, ada yang membandingkan situasi itu dengan kem Harimau Selatan yang tidak ke ruang kehormat untuk bersalaman dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang sebaliknya turun ke padang untuk bersalaman dengan pemain JDT selepas perlawanan tamat sebelum ini.
Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, tampil menjelaskan isu berkenaan dengan menegaskan arahan itu datang daripadanya sendiri.
BACA LAGI: 'Janji menang', nak jadi pencabar bukan setakat kalahkan JDT, kena konsisten kutip 3 mata
BACA LAGI: Drama wisel pertama, Rafael Vitor kekal raja gol terpantas bersama import TFC-legenda Kelantan
Menurutnya, dia hanya meminta Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Jamil, untuk bersalaman dengan Pengerusi NSFC merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, serta Presiden kelab di ruang VIP stadium.
“Peraturan Malaysia Football League (MFL) tidak membenarkan mana-mana tetamu kehormat turun ke padang tanpa pas khas.
"Jadi, saya yang arahkan hanya jurulatih untuk bersalaman dengan mereka di atas,” katanya dalam satu kenyataan membalas komen penyokong.
Faliq berkata, isu itu sepatutnya tidak diperbesarkan kerana ia dibuat mengikut protokol liga.
“Takkan pula saya nak bawa ramai-ramai VIP turun ke bawah. Fikir secara kritis dahulu sebelum komen,” katanya lagi.
Dia turut mengingatkan agar semua pihak tidak mudah membuat andaian yang boleh mencetuskan kekeliruan, sebaliknya menghargai kemenangan penting skuad Hobin Jang Hobin yang berjuang habis-habisan untuk meraih tiga mata di laman sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram