
SELAMA mana agaknya pengadil Liga Malaysia mampu bersabar dengan gelagat Habib Haroon?
Berhabis-habisan di dalam padang, kesungguhannya tidak kurang 100 peratus dan kerajinan berlari ke segenap ruang padang memang antara sifat dikenali mengenai pemain tengah bertahan berusia 24 tahun kelahiran Bahrain itu.
Cuma, dia memiliki sisi berbeza yang kurang digemari, sikap panas barannya yang gemar bertelagah dan ada kalanya dilihat berlebih-lebihan mempertikaikan keputusan pengadil.
BACA LAGI: Dibandingkan dengan JDT, pemain salam atas arahan CEO NSFC, MFL larang VIP turun padang
Satu kad kuning sudah diraihnya ketika Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) FC menjadi tuan rumah kepada Imigresen FC dalam aksi liga yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) dekat Kota Bharu, Kelantan 12 Ogos lalu.
Kemudian, dia turut bertegang leher dengan pengadil, Ahmad Zuhadi Dzulkifli, ketika TRW berjaya merampas satu mata daripada Sabah FC dalam perlawanan yang berkesudahan 0-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 23 Ogos tapi bernasib baik tidak dilayangkan kad.
Sebaliknya, hanya penyerang Sean Selvaraj dan pemain tengah TRW, Danial Deraman, yang menerima kad kuning dalam perlawanan itu.
Dalam pada Habib mungkin menjadi simbol semangat kepada rakan-rakan sepasukannya, ia turut menjadi tanggungjawab ketua jurulatih, E. Elavarasan, untuk berpesan kepada pemain-pemainnya agar lebih mengawal emosi daripada mengambil tindakan yang boleh merugikan pasukan.
Sebagai pasukan yang memikul amanah besar untuk mengangkat bola sepak Kelantan keluar dari kemerosotan, TRW yang dijenamakan semula daripada Kelantan Darul Naim (KDN) FC musim lalu, nampaknya bercita-cita besar hasil dorongan presiden kelab, Tan Sri Annuar Musa.
Awalnya mereka mendaftarkan sembilan pemain import Ifedayo Olusegun, Habib Haroon, Prince Aggreh (Bahrain), Alexandre Yeoule (Ivory Coast), Damyan Damyanov (Bulgaria), Albert Kang (Kanada), Yusuf Sesay, Abdul Sesay (Sierra Leone) dan Simen Alexander Santos (Filipina).
Pasukan Kelantan TRW berjaya mengikat skuad Sabah di Stadium Likas bagi mengutip satu mata berharga di tempat lawan. — Facebook The Real Warrior
Terbaharu, dengan jendela perpindahan yang masih terbuka hingga 31 Ogos, TRW menambah seorang lagi dengan membawa masuk Hein Htet Aung yang baru dilepaskan kelab Yangon United, Myanmar.
Htet Aung, seorang pemain sayap yang laju, harus diingati ketika tempohnya bersama Selangor FC (2021) dan Negeri Sembilan FC (2024).
TRW turut diperkuatkan oleh perpindahan Azam Azih, Azwan Aripin, Azfar Arif, Syaahir Saiful Nizam, Sean Selvaraj dan T. Saravanan (semuanya dari Sri Pahang FC), Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman (KDA FC) serta Nik Umar Nik Aziz dan Farris Izdiham (Perak FC).
Satu kekalahan 0-4 kepada Kuching City FC (9 Ogos), serta dua keputusan seri 1-1 dengan Imigresen FC (12 Ogos) dan 0-0 dengan Sabah FC (23 Ogos), bukanlah permulaan yang boleh dikatakan terlalu buruk.
Selain itu, TRW sudah pun mengecap kemenangan pertama apabila menundukkan Kuala Lumpur City FC 3-1 dalam aksi peringkat pertama pusingan 16 Piala FA di Kota Bharu pada 18 Ogos.
Halangan berikut yang menanti ialah Penang FC seperti TRW belum menang selepas tiga perlawanan liga di Stadium Bandaraya pada 30 Ogos.
Nada pertuturan Elvarasan juga sudah berubah dari satu perlawanan ke perlawanan berikutnya daripada belum berpuas hati selepas menundukkan KL City FC kepada penuh kelegaan dapat merampas satu mata daripada Sabah FC.
Ketua jurulatih TRW, E. Elavarasan. — Facebook The Real Warrior
Akur dengan hakikat masa diperlukan untuk membentuk keserasian dalam kalangan pemain-pemain yang baru dihimpunkan awal musim ini, jurulatih berusia 63 tahun itu yang pernah menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya (2022-2024) dan jurulatih skuad B-23 kebangsaan (2022-2023) menuntut agar mereka mempamerkan peningkatan.
"Saya rasa penting kami datang ke sini dan bawa pulang satu mata (dari Kota Kinabalu),” katanya selepas terikat dengan Sabah FC.
"Tetapi kalau dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini, konsistensi masih kurang. Kami kena berusaha lagi untuk tingkatkan kemampuan pasukan," tambahnya.
Bercakap mengenai konsistensi, Elavarasan harus merujuk kepada pentingnya pemain mengekalkan ketajaman.
Skuad TRW bakal berdepan Penang FC pada Sabtu ini di tempat lawan. — Facebook The Real Warrior
Contohnya apabila penyerang, Ifedayo penjaring cuma satu gol setakat ini yang agak sepi dalam aksinya di Stadium Likas, ia memberi impak kepada keseluruhan pasukan hingga mereka kurang menyerlah.
Bukanlah menghairankan apabila jurulatih itu berkongsi bahawa masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukannya untuk mengerah TRW mencapai tahap optimum yang diharapkan daripada mereka.
Penyokong pula harus menanti sehingga 26 September depan untuk TRW beraksi di SSMIV semula apabila menjadi tuan rumah kepada kelab Brunei, DPMM FC.
Sehingga itu, penting untuk mereka menghimpun mata dalam dua aksi liga terdahulu, berdepan Penang FC (30 Ogos) dan PDRM FC (20 September), kedua-duanya di tempat lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram