'Luar berhantu, dalam kondominium', penyokong gesa kerajaan Sarawak naik taraf stadium seiring kebangkitan Kuching City


  • Massa
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Antara aksi menarik skuad The Cats menentang JDT di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad. — Gambar/Kuching City

HAMPIR 13,000 penyokong membanjiri Stadium Negeri Sarawak pada Ahad lalu untuk menyaksikan aksi Liga Super 2025/2026 antara Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), sekali gus mencipta suasana luar biasa di venue keramat itu.

Walaupun The Cats tewas tipis 0-1, pencapaian pasukan kendalian Aidil Shahrin Sahak yang kini berada di tangga keempat liga dianggap sebagai permulaan era baharu bola sepak Sarawak.

Namun, di sebalik sorakan gemuruh, saya bersama ribuan penyokong lain ingin menyuarakan keresahan terhadap keadaan Stadium Negeri yang dilihat ketinggalan.

BACA LAGI: Drama wisel pertama, Rafael Vitor kekal raja gol terpantas bersama import TFC-legenda Kelantan

BACA LAGI: Bukan mudah serasi DNA Harimau Selatan, bintang Afrika dan Argentina sudah cukup jadi bukti

Fasilitinya seolah-olah tidak lagi seiring dengan pencapaian semasa pasukan.

Padang dan rumput kelihatan lusuh, tempat duduk pudar warnanya, manakala kemudahan tandas serba kekurangan, semuanya memberi kesan negatif terhadap imej bola sepak Sarawak.

Kerajaan negeri, Sarawak Sports Corporation (SSC), Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan pihak pengurusan Kuching City perlu segera duduk semeja bagi merangka pelan naik taraf yang menyeluruh.

Keadaan terkini Stadium Negeri Sarawak. — Facebook Fazzrudin A Rahman

Stadium ini bukan sekadar medan perlawanan liga, tetapi lambang maruah sukan bola sepak negeri.

Sekiranya Kuching City kini dianggap sebagai ‘duta’ Sarawak di kaca televisyen, maka sudah tiba masanya Stadium Negeri mencerminkan imej yang lebih baik.

Fasiliti bertaraf antarabangsa bukan sahaja bermanfaat untuk pasukan tempatan, malah berpotensi menarik kelab gergasi dunia untuk mengadakan aksi persahabatan di Kuching.

Kami tidak menuntut stadium semewah dan segah milik JDT, sebaliknya cukuplah sebuah stadium yang selesa, terurus, dan memenuhi piawaian asas.

Jika negeri mampu membina jambatan bernilai berbilion ringgit, mengapa tidak mampu memperuntukkan dana untuk menaik taraf stadium bola sepak utama negeri ini?

Dengan kemudahan bertaraf tinggi, Stadium Negeri boleh menjadi tarikan baharu untuk bola sepak antarabangsa.

Hampir 13,000 penyokong membanjiri Stadium Negeri Sarawak pada Ahad lalu untuk menyaksikan aksi Liga Super 2025/2026 antara Kuching City FC dan JDT. — Gambar/Kuching City

Bayangkan jika satu hari nanti kelab ternama seperti Manchester City turun beraksi di Kuching ia tidak mustahil, tetapi hanya boleh terjadi jika stadium kita berada pada tahap terbaik.

Bagi kami, tiga perkara asas perlu diberi perhatian segera padang, tempat duduk dan tandas. Khususnya padang, yang merupakan nadi utama bola sepak.

Rumput yang terlalu lama dan tidak rata bukan sahaja menjejaskan pergerakan bola, malah mengganggu mutu permainan.

Bila bola bergolek pun tidak cantik, ia mencalarkan persepsi penonton di luar sana apatah lagi di kaca mata television.

Padang adalah asas bola sepak. Jika asasnya lemah, prestasi pemain juga akan terkesan. Justeru, sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi perhatian serius kepada isu ini.

Bola sepak Sarawak kini sedang bangkit. Sudah tentu fasiliti kita juga mesti bangkit bersama.

Luar biar nampak berhantu tetapi dalam cantik macam kondominium dan ini bukan sekadar tuntutan penyokong, tetapi satu keperluan demi masa depan bola sepak negeri. — Majoriti

Adam Nadine merupakan peminat tegar Kuching City FC yang berasal dari Sri Aman, Sarawak

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram