
SELEPAS mengharungi permulaan Liga Super yang kurang menyakinkan, pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahukan skuadnya beraksi lebih baik sekali gus menewaskan Terengganu FC pada Rabu.
Beraksi di laman sendiri, Kinoshi tidak mahu skuadnya mencatatkan satu lagi kekalahan sekali gus mencalarkan reputasi baik semasa bermain di hadapan ribuan penyokong Gergasi Merah.
Sebagai rekod, Selangor sudah beraksi sebanyak tiga kali dengan mencatatkan dua kekalahan di tempat lawan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC, selain menewaskan DPMM FC pada aksi di laman sendiri.
BACA LAGI: Terus tumpul depan gol, sampai bila pertahanan Selangor harus ‘ikat jamin’ Willian Lira?
BACA LAGI: Joehari Ayub kosongkan pejabat, Yusoff Mahadi disebut pangku tugas Presiden FAM bermula Rabu
Katsuhito Kinoshi
Dengan Terengganu segar daripada kemenangan 5-0 ke atas DPMM, Kinoshi mahukan anak-anak buahnya terus fokus dan bersedia menentang kelab Pantai Timur itu.
Dalam masa yang sama, Kinoshi mahu menjadikan Selangor kelab yang digeruni seperti musim lalu hinggakan berjaya menduduki tempat kedua.
"Kita perlu bersedia dengan lebih baik, dengan lebih rapi kerana selepas kekalahan tempoh hari, banyak yang perlu ditambahbaik.
"Untuk kembali menjadi pasukan Selangor seperti sebelum ini, kita kena kembali menang dan semua faham tanggungjawab masing-masing untuk melakukan persiapan terbaik lawan Terengganu.
"Selepas beberapa perlawanan yang kita harungi, setakat ini tiada kecederaan yang teruk menimpa pemain, hanya yang biasa sahaja dan kita akan terus awasi kecergasan mereka," jelas Kinoshi kepada Liga Bola Sepak Malaysia.
Pada aksi menentang Negeri Sembilan, Selangor melepaskan pendahuluan satu gol dengan memboloskan dua jaringan pada minit akhir sekali gus pulang dengan kehampaan.
Dengan beraksi di laman sendiri, tekanan daripada penyokong pastinya lebih tinggi kerana mereka mahukan tiga mata supaya tidak jauh ditinggalkan oleh kelab-kelab lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram