
DUA gol daripada Joao Figueiredo dan satu hasil jaringan Arif Aiman Hanapi memastikan tiga mata penuh dibawa pulang Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas mereka menundukkan Lion City Sailors dalam aksi Piala Shopee.
Namun, perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Khamis itu dicemari dengan kelemahan benteng pertahanan tuan rumah yang membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol lewat menerusi Shawal Anuar.
Rembatan deras pemain kebangsaan Singapura itu pada minit kelima masa kecederaan membolehkan naib juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two tersebut merapatkan jurang jaringan meskipun terpaksa menelan kekalahan 1-3.
BACA LAGI: Perjalanan masih panjang, tak adil jadikan aksi berdepan NSFC penanda aras Xisco Munoz di JDT
BACA LAGI: 'Bangun, bangun!', nyaris dimalukan Jang Hobin, Xisco Munoz gesa pertahanan JDT jangan terlena
Taktikal diterapkan Xisco Munoz masih belum cukup meyakinkan peminat skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ini bukanlah kali pertama skuad Harimau Selatan dibolosi dalam aksi di laman sendiri selepas sebelum ini, mereka ditembusi sebanyak tiga kali dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC.
Jadi, dalam usaha mengatasi isu tersebut, penyokong mengharapkan pihak pengurusan kelab dapat melakukan perubahan terhadap barisan kejurulatihan dengan menggugurkan Xisco Munoz.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga desakan supaya rombakan minit-minit akhir dapat dibuat ke atas skuad sebelum jendela perpindahan ditutup dengan melepaskan mana-mana pemain yang kurang menyerlah.
Cadangan itu disertakan dua nama yang perlu digugurkan daripada pasukan, iaitu Jonathan Silva dan Jairo da Silva yang berkali-kali mempamerkan aksi kurang memuaskan buat skuad Harimau Selatan.
"Jonathan Silva dan Jairo itu bolehlah jual sebelum kempen ACL Elite bermula, jadi beban sahaja kepada pasukan. Dah berapa perlawanan, tetapi masih tiada sebarang peningkatan.
"Kena pula taktikal jurulatih cacamarba, memang susahlah. Nak lawan kelab Jepun dengan begini punya gaya permainan? Saya fikir penyokong lain pun sudah tahu jawapannya," kata Dilley Reels.
Persembahan ditampilkan Jairo (kanan) setakat ini belum cukup untuk menambat hati peminat. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Jonathan Silva nampak kurang menyerlah, lebih baik turunkan Corbin Ong dan letakkan Samuel Castillejo sebagai perancang. Jairo pula boleh diganti dengan Figueiredo," kata Haszrul Jdt.
Persembahan Jairo sudah berkali-kali dipersoalkan, terutamanya selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika berdepan Negeri Sembilan FC meskipun sudah membuka akaun jaringan buat pasukan.
Bagi Jonathan pula, dia yang bertahun-tahun beraksi di Eropah belum mengukuhkan diri sebagai pemain penting buat skuad Harimau Selatan walaupun mencetak dua gol semasa kemenangan ke atas UM-Damansara United dalam Piala FA tempoh hari.
Rombakan besar-besaran sudah tentu enggan dilakukan pihak pengurusan kerana hanya berbaki 10 hari sebelum jendela perpindahan ditutup dengan perubahan hanya boleh disaksikan terhadap barisan kejurulatihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram