
BUDAYA keganasan dalam bola sepak kerap kali kedengaran berlaku di Indonesia apabila penyokong terlalu ghairah sehingga mencetuskan pergaduhan yang akhirnya hanya membawa kerugian.
Sebagai contoh, insiden yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, Malang pada 2022 sepatutnya cukup untuk menjadi pengajaran supaya mengawal emosi sekiranya keputusan tidak berpihak kepada pasukan kegemaran masing-masing.
Namun, peminat di negara jiran seakan-akan tidak pernah belajar daripada perkara berkenaan apabila sekali lagi kekecohan tercetus selepas aksi Liga Super Indonesia melibatkan PSIM Yogyakarta dan Persib Bandung.
BACA LAGI: Ramalan ChatGPT: Pertembungan Nusantara antara Selangor-Persib berpotensi berlaku di ACL2
BACA LAGI: [VIDEO] Lucho boleh ikut kisah bintang Liga Super bersinar di Persib Bandung
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Agung, Bantul pada Ahad, keputusan seri dicatatkan apabila tuan rumah mendahului menerusi Ze Valente sebelum kedudukan terikat menerusi gol minit akhir Patricio Matricardi.
Aksi berkenaan sememangnya cukup mendebarkan kerana Persib Bandung mahu meraih kemenangan kedua liga sementara PSIM Yogyakarta enggan mengalami kekalahan pertama dalam tiga perlawanan.
Tidak cukup dengan itu, aksi tersebut dicemari dua kontroversi hangat apabila pasukan pelawat diberikan dua sepakan penalti, namun kedua-duanya gagal disempurnakan.
Keputusan tersebut mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ribuan penyokong di stadium sehingga mengakibatkan pergaduhan selepas tamat perlawanan.
Dalam beberapa video dimuat naik di media sosial, kelihatan peminat Persib Bandung yang dalam perjalanan pulang menggunakan bas berada dalam keadaan ketakutan selepas ratusan penyokong tuan rumah mengerumuni mereka.
Skuad Gergasi Merah diletakkan dalam kumpulan yang turut mengandungi Persib Bandung di pentas ACL Two.
Tindakan itu difahamkan berlaku selepas bas tersebut dikatakan melanggar sekumpulan penyokong PSIM Yogyakarta, namun tiada sebarang pengesahan dibuat berhubung punca sebenar kejadian.
Situasi menjadi lebih buruk sehingga menyaksikan cermin hadapan bas terbabit dipecahkan menggunakan objek tumpul dengan kehadiran pihak polis dan pengawal stadium turut gagal meredakan keadaan.
Tiada sebarang kecederaan dan nyawa terkorban dilaporkan setakat ini dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSIS) masih belum memberi sebarang kenyataan lanjut.
Insiden sedemikian sememangnya merisaukan kerana Persib Bandung akan mengalu-alukan kehadiran kelab tanah air, Selangor FC dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two pada Oktober.
Sekiranya tiada sebarang langkah pencegahan awal diambil, dikhuatiri peminat Merah Kuning akan menjadi mangsa, lebih-lebih lagi jika keputusan tidak memihak kepada skuad Pangeran Biru. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram