
“BUAT kali pertama sejak kali terakhir pada 2008, Liga Super Malaysia kembali ke Brunei menerusi Duli Pengiran Muda Mahkota FC atau DPMM. Halangan pertama mereka di tempat sendiri adalah Terengganu,” kata pengulas Astro Arena, Aiman Roshizam, dalam mukadimahnya sejurus sebelum sepak mula satu-satunya perlawanan Liga Super pada Jumaat.
Belum pun habis ayatnya itu, DPMM yang diberi julukan skuad Tebuan mengikut jersi berbelang kuning hitamnya harus tidak mengiginkan permulaan sedemikian apabila dibolosi selepas hanya 11 saat.
Daripada serangan pertama pelawat itu, Careca merembat dari luar petak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Kristijan Naumovski, sewaktu 5,425 penonton di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah berkapasiti 28,000 itu belum pun memanaskan tempat duduk masing-masing.
BACA LAGI: Naik angin lepas sia-sia kelebihan 2 gol lawan JDT, coach futsal Sabah ditumbuk staf sendiri
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya beza 0.01 saat di depan Selangor, kuartet Sabah pecah rekod acara 4x400m L15 MSSM 2025
Sang Penyu mencatat kemenangan meyakinkan 5-0 ke atas DPMM FC dalam aksi Liga Super 2025. — Facebook/TFC
Gol itu tercatat sebagai yang kedua terpantas dalam sejarah Liga Malaysia – selepas jaringan terpantas dilakukan bekas kapten Penang FC, Rafael Vitor, sembilan saat selepas sepak mula perlawanan pada musim 2021.
Berselang 15 minit, Terengganu FC sudah dua gol di depan, kali ini menerusi sungkitan kaki kanan pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov, yang ditokok tiga gol lagi dalam separuh masa kedua menerusi sepakan penalti Careca (m-74), Yann Mabella (m-86) dan pemain gantian, Syahmi Zamri (m-90+2).
“Lima bintang untuk Terengganu di Brunei,” jerit Aiman atau lebih dikenali dengan panggilan Aiman Sekaiichi dalam siaran langsung Astro Arena. “Terengganu ada 10 jaringan dalam Liga Super setelah hanya tiga perlawanan.”
Rakan pengulas, Nizaruddin Yusof menambah: “Jaringan Syahmi Zamri ini pelengkap kepada kebangkitan di atas kekalahan tempoh hari (kepada Imigresen FC dalam aksi pusingan 16 Piala FA) untuk memastikan pasukan Terengganu sentiasa dalam perlawanan ini.”
Sebelum terbang ke Bandar Seri Begawan pada Rabu, ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, mengakui bimbang dengan cabaran lawan yang berupaya mengejutkan pasukan pilihan, Kuching City FC, 3-2 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA di stadium sama pada 16 Ogos.
Sebagai perbandingan, TFC – semi-finalis musim lalu sebelum tersingkir dengan agregat 6-4 kepada Selangor FC – tewas 1-2 kepada Imigresen FC hasil gol minit terakhir Joao Pedro di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 17 Ogos.
“Saya fikir tidak akan mudah bermain di Bandar Seri Begawan kerana sudah lama Terengganu tidak bermain di sana.
“Pesan saya kepada pemain-pemain supaya lupakan kekalahan dalam Piala FA itu dan fokus balik kepada liga. Saya mahu pemain-pemain buat sejarah dengan menang di Brunei,” kongsi jurulatih itu dengan Bola Pegun.
Barisan pemain Sang Penyu meraikan kemenangan bergaya ke atas wakil kelab dari Brunei. — Facebook/TFC
Badrul Afzan berkata oleh kerana tidak tahu apa yang boleh dijangkakan dalam perlawanan itu, arahannya kepada pemain-pemain ialah mengusahakan gol awal untuk mendapatkan semangat lebih dahulu.
Tambahan pula Brunei yang memiliki sembilan tenaga import termasuk tiga dari Malaysia – Fairuz Zakaria, Syafiq Ahmad dan Tommy Mawat Bada -- selain Jordan Murray, Ramadhan Sanantha, Amani Aguinaldo, Prosper Boakye Owusu, Jordan Rodrigues dan Michel dos Santos tidak boleh dipandang rendah.
“Mereka sebuah pasukan yang bagus sebenarnya. Tapi mungkin dua gol awal kami dalam 15 minit pertama menyentap semangat mereka.
“Pada penghujungnya saya sendiri tidak menyangka kami dapat menjaringkan hingga lima gol. Saya anggap ia rezeki kami dalam perlawanan ini,” katanya.
Sejumlah 10 gol dalam tiga perlawanan liga secara tidak langsung mengangkat TFC sebagai antara pencabar digeruni musim ini tetapi Badrul Afzan tidak menganggap ia petanda pasukannya sudah menemui keserasian dari awal musim lagi ketika pasukan lain masih tercari-cari rentak.
Careca (tengah) meledak dua gol untuk membantu Sang Penyu membenam DPMM FC. — Facebook/TFC
Kesesuaian latihan, katanya, diolah dari satu perlawanan ke perlawanan berikutnya bergantung kepada lawan yang akan dihadapi, termasuk tumpuan kepada tindakan penyudah dan corak bertahan sebagai persiapan sebelum berhadapan DPMM FC.
“Tak boleh nak kata lagi yang 10 gol dalam tiga perlawanan menunjukkan kami dah dapat keserasian dari awal musim lagi.
“Sebelum ini banyak peluang dicipta tidak dapat disudahkan dengan jaringan, termasuk ketika berdepan dengan Imigresen.
“Musim masih panjang dan banyak lagi yang perlu kami perbaiki untuk meningkatkan keupayaan pasukan,” kata jurulatih itu lagi.
Badrul Afzan turut berkongsi nalurinya untuk memasukkan penyerang, Syahmi, 25, sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan untuk memberikannya minit permainan.
Enam minit selepas kemasukannya menggantikan Mabella pada minit ke-86, dia membalas kepercayaan dengan gol kelima.
“Saya mahu memberi peluang kepada Syahmi kerana dia sentiasa bersemangat untuk turun beraksi,” katanya.
TFC seterusnya akan ke Stadium MBPJ untuk melakukan perhitungan dengan Selangor FC dalam aksi liga pada 27 Ogos – satu lagi ujian awal yang akan memberi bayangan semakin mengecil atau semakin melebar jurang di antara kedua-dua pasukan musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram