[VIDEO] Naik angin lepas sia-sia kelebihan 2 gol lawan JDT, coach futsal Sabah ditumbuk staf sendiri


  • Podium
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Tangkap layar menunjukkan insiden pergaduhan melibatkan staf pasukan Sabah dalam penentuan tempat ketiga Piala Futsal Malaysia 2025.

PERLAWANAN penentuan tempat ketiga Piala Futsal Malaysia 2025 antara Sabah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berlangsung di Negeri Sembilan Arena, Nilai pada Sabtu bertukar kecoh apabila berlaku insiden pergaduhan melibatkan staf pasukan Sabah sendiri.

Aksi sengit itu pada awalnya menyebelahi Sabah yang mendahului dengan keputusan 3-1, namun kelekaan di penghujung permainan menyaksikan mereka dibolosi tiga kali berturut-turut, sekali gus tewas tipis 3-4 kepada JDT.

Kekecewaan jelas dirasai di kem Sabah dan keadaan menjadi semakin tegang apabila ketua jurulatih Sabah, Roger Filipe bertindak masuk ke dalam gelanggang sebaik sahaja wisel penamat ditiup.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya beza 0.01 saat di depan Selangor, kuartet Sabah pecah rekod acara 4x400m L15 MSSM 2025

BACA LAGI: Belasah kelab Liga A1 bukan alasan Sabah FC pandang rendah Kelantan TRW

Menerusi video yang kini tular di media sosial, jurulatih kelahiran Portugal itu dilihat cuba ditenangkan oleh salah seorang pegawai pasukan, namun situasi bertukar kecoh apabila Roger secara tiba-tiba menyiku pegawai tersebut.

Tidak berpuas hati dengan tindakan beremosi jurulatih itu, pegawai berkenaan kemudian bertindak menumbuk Roger sehingga dia terjatuh dan terbaring di atas gelanggang mengejutkan para penonton yang berada di lokasi.

Beberapa individu termasuk pemain dan pegawai pasukan dilihat segera campur tangan untuk meleraikan insiden tersebut sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan pasukan Sabah atau penganjur kejohanan berhubung insiden memalukan itu. 

Sabah terpaksa akur di tempat keempat selepas gagal mempertahankan kelebihan untuk meraih tempat ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram