[VIDEO] Lucho boleh ikut kisah bintang Liga Super bersinar di Persib Bandung


  • Podium
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Dari kiri: Da Silva, Madinda dan Mendoza merupakan antara bintang Liga Super yang bersinar buat Persib bandung.

SAGA perpindahan berhubung masa depan kapten Perak FC, Luciano Guaycochea akhirnya terjawab apabila baru-baru ini, dia dilaporkan akan beraksi untuk juara Liga 1 Indonesia, Persib Bandung bagi kempen akan datang.

Keputusannya untuk menyertai skuad Pangeran Biru adalah tepat memandangkan pasukan itu tidak berdepan masalah pengurusan selain memberi peluang buat perancang dari Argentina tersebut untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.

Selain itu, Luciano yang turut dikenali sebagai Lucho akan berada di bawah bimbingan pengendali berpengalaman, Bojan Hodak yang sudah membuktikan diri di Indonesia buat Persib Bandung dan PSM Makassar sebelum ini.

BACA LAGI: Mana kapten?' kehilangan Guaycochea resahkan fans Perak bertemu KDN

BACA LAGI: Perak wajib jadikan Guaycochea 'ramuan' istimewa sekat kemaraan JDT

Bagaimanapun, di sebalik manfaat bakal diterimanya di sana, timbul pula keraguan mengenai kebolehan pemain tersebut untuk menyesuaikan diri dalam arena bola sepak di negara terbabit.

Ini kerana terdapat rekod dahulu yang menyaksikan import Liga Super bergelut selepas tiba di Indonesia kerana terkejut dengan gaya permainan dan sikap fanatik penyokong.

Tetapi, Luciano tidak perlu berasa terlalu gentar kerana terdapat tiga bekas bintang bola sepak tanah air bersinar di selepas memilih untuk menyertai skuad Pangeran Biru.

1. Kevin Ray Mendoza

Semasa Bojan Hodak memilih untuk meninggalkan Kuala Lumpur (KL) City FC dan menyertai Persib Bandung, kedengaran khabar angin bahawa terdapat lambakan anak-anak buahnya akan mengambil langkah sedemikian.

Namun, saga yang membanjiri media sosial segera ditepis apabila hanya penjaga gol, Kevin Ray Mendoza mengikut jurulatih kelahiran Croatia itu untuk ke Indonesia.

Perpindahan tersebut boleh dikatakan cukup sesuai diambil kerana sebelum kehadiran pemain kebangsaan Filipina terbabit, kepercayaan penuh dipikul Teja Paku Alam.

Mendoza mengikut jejak Bojan Hodak yang meninggalkan KL City FC untuk ke Indonesia. Agensi

Meskipun kedua-duanya berada dalam prestasi terbaik, Mendoza berjaya membawa impak lebih besar kerana pada musim pertamanya, kelab itu hanya mengalami dua kekalahan semasa dia diturunkan.

Kecemerlangan ditampilkan penjaga gawang berusia 30 tahun itu membuktikan keputusan Bojan Hodak mendapatkan khidmatnya cukup berbaloi meskipun pasukan tersebut sudah mempunyai lambakan pilihan lain.

2. Davide da Silva

Lama sebelum Mendoza mahupun Bojan Hodak tiba di Persib Bandung, penyerang berbisa dari Brazil, David da Silva lebih awal menyertai kelab itu, iaitu pada 2021 selepas dia meninggalkan Terengganu FC.

Perpindahan tersebut bukanlah sesuatu yang asing buat peledak tersebut kerana sebelum itu, dia pernah beraksi di Indonesia bersama Persebaya Surabaya yang memberikan pendedahan bermakna buatnya.

Lebih membanggakan lagi, keputusannya untuk menyertai Persib Bandung menjadi lonjakan dalam kariernya kerana sepanjang semusim beraksi buat skuad Sang Penyu, da Silva tidaklah begitu prolifik.

Da Silva menjadi nadi utama serangan skuad Pangeran Biru sepanjang empat musim perkhidmatannya. Agensi

Berdasarkan rekod semasa, penyerang bertubuh sasa itu sudah merekodkan 74 gol dan 18 bantuan jaringan daripada 113 penampilan sepanjang empat musim bersama Persib Bandung.

Tidak cukup dengan itu, dalam tempoh perkhidmatannya buat kelab berkenaan, da Silva sudah menjulang dua gelaran Liga 1 Indonesia selain beberapa kali meraih anugerah individu.

3. Levy Madinda

Selepas gagal menembusi skuad utama Johor Darul Ta'zim (JDT), pemain tengah kebangsaan Gabon, Levy Madinda mengambil keputusan untuk ke Indonesia dan menyertai skuad Pangeran Biru bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tyrone del Pino akibat kecederaan.

Perpindahan tersebut pada awalnya menyaksikan pemain tersebut berada di bawah bimbingan Luis Milla, namun perubahan di pertengahan musim menyaksikan Bojan Hodak tiba.

Sepanjang berada di bawah kendalian jurulatih terbabit, Madinda menjadi watak utama buat pasukan itu dengan 15 penampilan direkodkan, tetapi sumbangan di hadapan pintu gol adalah sedikit mengecewakan.

Madinda hanya beraksi untuk separuh musim buat Persib Bandung. Agensi

Bagaimanapun, khidmatnya buat kelab itu tidak dapat dilanjutkan kerana Persib Bandung mengalami dilema sama ada mahu mendaftarkannya atau del Pino yang sudah kembali cergas.

Meskipun hanya menghabiskan tempoh kira-kira enam bulan, impak dicurahkan pemain tersebut menjadi dasar kukuh buat skuad Pangeran Biru yang pada akhir musim menjuarai Liga 1 Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram