Bukan mahu JDT tumbang, aksi NSFC-Selangor bukti fans cuma inginkan kestabilan untuk penuhkan stadium


  • Podium
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Kestabilan Negeri Sembilan berjaya membawa penyokong kembali ke stadium.

KEMERIAHAN bola sepak Liga Super setakat ini menyaksikan beberapa aksi menerima sambutan hangat penyokong.

Sebagai contoh, aksi antara Negeri Sembilan FC dengan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang berkesudahan tuan rumah menang 2-1 berjaya menarik lebih 20,000 penyokong ke stadium pada Ahad.

Situasi tersebut, memberikan gambaran yang penyokong sebenarnya mahukan kelab yang stabil walaupun mungkin tidaklah mewah.

BACA LAGI: Ubah formasi atau cari pengganti? Formula Nidzam Jamil ditagih di sebalik kehilangan jeneral NSFC

BACA LAGI: [VIDEO] Janganlah berulang, aksi NSFC-Selangor tak patut dicemari insiden seperti kontroversi Shukor, tamparan Razman

Kestabilan kelab

Negeri Sembilan memulakan musim dengan kekalahan selepas mereka tumpas 3-5 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Walaupun tumpas, persembahan Negeri Sembilan itu mencuri tumpuan ramai apabila mereka berjaya memboloskan gawang JDT sebanyak tiga kali dengan pada satu ketika, skuad Jang mendahului 2-0.

Ia berjaya menawan hati penyokong untuk terus ke stadium, ditambah dengan persembahan menyakinkan membelasah PDRM FC 5-0 dalam aksi Piala FA menambah keyakinan.

Maka tidak hairan jika ramai penyokong skuad Jang memilih ke stadium pada Ahad untuk aksi liga bertemu Selangor kerana kestabilan skuad di bawah kendalian Nidzam Jamil memberikan keyakinan, Negeri Sembilan boleh mencabar.

Jika hendak dibandingkan dengan musim lalu, perubahan Negeri Sembilan boleh dianggap ketara kerana sebelum ini mereka sering berdepan masalah untuk mengelak dari menjadi kelab tercorot Liga Super.

Bertemu Selangor yang juga merupakan lawan sukar, penyokong Negeri Sembilan sedia memberikan yang terbaik mendukung skuad mereka.

Penyokong berasa dekat

Satu perkara yang buatkan penyokong berasa dekat dengan kelab adalah apabila pengurusan sendiri telus dengan mereka.

Dalam konteks Negeri Sembilan, ketua pegawai eksekutif kelab, Faliq Firdaus dilihat terbuka terutamanya melibatkan interaksi bersama penyokong.

Faliq dilihat sering memberikan maklumat dan menjawab pertanyaan penyokong berkenaan kelab baik dari segi prestasi atau isu berkaitan pengalaman hari perlawanan (matchday experience).

Faliq sering menjawab pertanyaan penyokong di media sosial.

Tindakannya itu dilihat kecil, namun ia amat besar kesannya bagi penyokong kerana mereka boleh meluahkan segalanya mengenai Negeri Sembilan terus kepada ketua mereka.

Ia adalah satu tindakan yang baik dalam usaha untuk menjadikan Negeri Sembilan sebuah kelab yang lebih teguh baik sebagai sebuah skuad di padang, atau pengurusan yang menjaga pemegang taruhnya yang paling utama iaitu penyokong.

Bantu JDT, Selangor naikkan Liga Super

Jika sebelum ini, selain JDT, Selangor dipandang sebagai kelab yang dilihat stabil dari segi kewangan serta cara pengurusan memastikan penyokong dekat dengan pasukan.

Namun musim ini, Negeri Sembilan mula muncul dengan visi serupa, dan ia sepatutnya disambut baik dalam usaha memeriahkan liga.

Usaha Negeri Sembilan harus dipuji untuk tingkatkan kualiti Liga Super.

Negeri Sembilan mempunyai penyokongnya yang tersendiri dan pernah menikmati pelbagai kejayaan sebelum ini, dengan pengurusan yang stabil serta skuad berprestasi baik, tidak terkejut jika mereka terus maju pada masa depan.

Liga Super amat memerlukan kelab selain JDT untuk menaikkan profil liga, Selangor saja tidak cukup dan kerana itu, Negeri Sembilan dijemput untuk mengikut jejak langkah serupa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram