
KONTINJEN Sabah yang beraksi di pentas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 di Perlis menampilkan persembahan cukup meyakinkan sehingga berjaya menamatkan saingan sebagai juara keseluruhan.
58 pingat secara keseluruhan yang terdiri daripada 19 emas, 22 perak dan 17 gangsa diraih menyaksikan atlet dari Negeri di Bawah Bayu itu mengharumkan nama negeri masing-masing.
Kutipan tersebut turut meletakkan mereka dengan jurang cukup besar berbanding naib juara, Selangor dengan 47 pingat sementara tempat ketiga adalah milik Terengganu (17 pingat).
BACA LAGI: 'Ratu Pecut in the making', Nur Alferra catat rekod baharu 100m MSS Sabah
BACA LAGI: [VIDEO] Rejaman tajam, Sumandak Sabah sumbang 3 emas di SUKMA
Kontinjen Sabah sudah tentu berbangga dengan persembahan pasukan secara keseluruhan. — Facebook/Perlis Permai
Tidak terhenti di situ, beberapa atlet dari kontinjen Sabah turut pulang dengan sejarah tersendiri selepas memecahkan rekod kejohanan seperti kuartet olahraga yang memperbaharui catatan terbaik bagi acara 4x100 meter (m) lelaki bawah 18 tahun (B-18).
Ini merupakan satu kebanggaan buat penduduk negeri tersebut yang pasti akan terus menyokong pembangunan sukan dalam kalangan anak jati negeri kerana masing-masing mempunyai potensi besar.
Bukan itu sahaja, mentaliti ditonjolkan atlet Sabah juga berada dalam kelas tersendiri selepas mereka membersihkan padang tanpa diminta ketika majlis penutup di Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis.
Dalam sesi yang berlangsung pada Sabtu, beberapa penonton di venue tersebut pada awalnya sedikit kesal kerana kelihatan sampah seperti botol dan plastik mencemari padang.
Atlet dan pegawai kontinjen Sabah mengutip sampah yang bertaburan di atas padang. — Facebook/Tun Nila Utama
Bagaimanapun, tanpa sebarang arahan rasmi, kelihatan kontinjen Sabah gigih mengutip sampah sehingga permukaan padang kelihatan bersih dengan ia membuktikan nilai murni yang ditanam dalam kalangan atlet.
Lebih mengharukan lagi, usaha tersebut dibuat ketika hujan lebat sedang turun dengan atlet dari negeri lain masih berteduh sementara majlis penyampaian hadiah berlangsung.
Perkara itu menimbulkan rasa bangga, termasuk dalam kalangan peminat sukan di negeri lain yang menyedari budi pekerti ditonjolkan sehingga boleh bertindak sedemikian.
"Tampil kontinjen Sabah dengan jiwa nan luhur, mengutip segala yang berserakan hingga habis bersih tiada berbaki. Sesungguhnya mereka bukan sekadar juara di medan pertandingan, bahkan juara dalam budi pekerti dan nilai murni.
"Banggalah kita akan atlet Sabah, kerana di tangan dan hati merekalah terserlah makna sebenar kemenangan, bukan hanya pada piala dan pingat, tetapi pada akhlak yang memuliakan insan," tulis Mohd Nazri Baharin.
"Apa yang menjadikan Sabah sebagai pasukan juara sejati, bukan sekadar juara di atas balapan, tetapi juara dihati semua apabila kontinjen ini bergerak mengutip semua sampah yang berserak di atas padang sehingga bersih pada majlis penutup MSSM 2025," tulis Tun Nila Utama.
"Mereka memang hebat, kagum sungguh. Tatkala kontinjen lain mencari tempat berteduh, Sabah masih di padang berbasahan. Terharu sangat apabila semua atlet dan pegawai saling mengutip botol bertaburan hingga bersih," kata Aezlisha Sheyang.
Kejayaan Sabah di Utara tanah air menyaksikan mereka mengekalkan status sebagai juara keseluruhan MSSM buat tahun kedua berturut-turut setelah turut berbuat demikian dalam edisi tahun lalu yang berlangsung di Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram