
KEMENANGAN besar 5-0 ke atas DPMM FC pada Jumaat tidak cukup untuk menyatakan Terengganu FC sudah cukup bersedia untuk mencabar takhta Liga Super 2025/26 kerana jurang kedua-dua pasukan amat ketara.
Bagaimanapun, persembahan memukau daripada anak-anak buah Badrul Afzan Razali itu membuka mata peminat mengenai kualiti pemain tengah, Careca atau nama sebenarnya Raianderson da Costa Morais.
Dia yang hanya memerlukan 11 saat untuk membuka jaringan sebelum menambah koleksi gol peribadi pada babak kedua menerusi sepakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan pertahanan tuan rumah, Prosper Boakye Owusu.
BACA LAGI: Drama wisel pertama, Rafael Vitor kekal raja gol terpantas bersama import TFC-legenda Kelantan
BACA LAGI: Lima bintang untuk Terengganu di Brunei, jerit Aiman Sekaiichi di televisyen
Skuad Sang Penyu sudah tentu gembira dengan tiga mata penuh direkodkan di tempat lawan. — Facebook/Terengganu FC
Kedua-dua gol berkenaan cukup penting bagi memastikan skuad Sang Penyu pulang dengan senyuman, apatah lagi kerana kemenangan itu meletakkan mereka di tangga teratas untuk kira-kira 48 jam.
Pujian sememangnya diberikan kepada semua pemain, namun tumpuan utama sudah tentu milik Careca yang sekali lagi menampilkan aksi terbaik untuk memberi kemenangan buat Terengganu FC.
Ini bukanlah kali pertama namanya mekar di bibir peminat kerana sepanjang tempoh pramusim, bekas pemain Perak itu sudah berkali-kali menampilkan persembahan memberangsangkan.
Dia yang diberi peranan 'free role' di posisi tengah sememangnya rajin dalam memberi tekanan terhadap pasukan lawan sementara Akram Mahinan kekal dalam membantu benteng pertahanan.
Careca diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan selepas membantu menundukkan DPMM FC. — Facebook/Terengganu FC
Kehadiran Careca juga membolehkan Nurillo Tukhtasinov lebih fokus di posisi serangan untuk merencanakan gerakan memandangkan dia tidak perlu turun setiap kali benteng pertahanan diasak.
Jadi, kemasukan pemain Brazil berkenaan jelas boleh dianggap sebagai pelengkap kepada posisi tengah skuad Sang Penyu yang sudah bertahun-tahun mengalami kelompongan.
Ini kerana pada musim 2022, Terengganu FC yang ketika itu berada di bawah kendalian Nafuzi Zain meletakkan Petrus Shitembi, Habib Haroon serta Manuel Ott dengan peranan berbeza masing-masing membawa kestabilan.
Namun, selepas itu, skuad Sang Penyu mengalami sedikit kepincangan kerana semua pemain tengah dibawa masuk tidak mempunyai keupayaan untuk memberi sumbangan sedemikian.
Marin Pilj tidak dapat memberi sumbangan seperti mana dicurahkan Careca dalam pasukan. — Facebook/Terengganu FC
Pemain diletakkan seperti Liridon Krasniqi, Zuasyraf Zulkiefle dan Marin Pilj masing-masing mempunyai gaya permainan tersendiri yang bagaimanapun tidak cukup stabil kerana tiada yang dapat membuat keputusan segera.
Meskipun ada beranggapan Nurillo sudah cukup untuk peranan tersebut, dia yang beraksi sebagai perancang tidak dapat membawa kestabilan ketika skuad Sang Penyu menerima asakan balas.
Situasi itu akhirnya berubah apabila pihak pengurusan memilih untuk mendapatkan khidmat Careca yang musim lalu hanya beraksi dalam liga bawahan di Korea Selatan.
Kepercayaan tersebut diberikan Badrul Afzan yang sudah tentu menyedari kebolehannya semasa dia beraksi selama tiga tahun bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).
Badrul Afzan sudah tentu gembira dengan kestabilan dalam pasukannya ketika ini. — Facebook/Terengganu FC
Hasilnya, Terengganu FC tidak perlu bimbang untuk memberi serangan bertali-arus kepada benteng pertahanan lawan kerana kehadiran Careca cukup untuk menutup kelompongan pasukan.
Namun, kebergantungan terhadap pemain 29 tahun itu boleh memberi padah sekiranya kecederaan melanda dengan Badrul Afzan perlu segera mencari pengganti terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan.
Tidak cukup dengan itu, masalah juga akan timbul ketika skuad Sang Penyu berdepan pasukan handalan kerana setakat ini, mereka belum berdepan lawan dengan posisi tengah yang meyakinkan seperti Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC.
Bagaimanapun, sekiranya berjaya mencipta kejutan ke atas pasukan dengan kredibiliti besar terbabit, Terengganu FC boleh diangkat sebagai pencabar utama dengan Careca wajar diberikan kredit secukupnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram