Bekas bintang sayap Selangor tinggalkan kelab terkini lepas hanya sekali beraksi, petanda hampir ke Pantai Timur


  • Podium
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Skuad TRW akan membawa masuk pemain baharu sebelum jendela perpindahan ditutup. — Facebook/Kelantan TRW

SELEPAS memulakan aksi Liga Super 2025/26 dengan langkah kiri, Kelantan The Real Warriors (TRW) kini hampir menemui rentak selepas meraih dua mata daripada tiga perlawanan hasil keputusan seri dengan Imigresen FC dan Sabah FC.

Dalam saingan Piala FA pula, skuad kendalian E Elavarasan itu turut mencetus kejutan apabila menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC menerusi keputusan 3-1 di laman sendiri.

Ini membuktikan pelaburan dibuat pihak pengurusan yang dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa sudah membuahkan hasil selepas melakukan rombakan besar-besaran pada jendela perpindahan.

BACA LAGI: Bukan hanya 'Husin', bek kental perkuat semula skuad Jang berdepan KDN

BACA LAGI: Htet Aung sertai NSFC buka pintu luas untuk Lee Tuck ke Selangor

Htet Aung sudah lama disebut-sebut berada dalam radar pasukan Pantai Timur tersebut.

Pasukan Pantai Timur itu membuat pelaburan dengan membawa masuk import seperti Habib Haroon, Damyan Damyanov dan Ifedayo Olusegun yang semua daripadanya sudah memainkan peranan besar setakat ini.

Tidak terhenti di situ, Kelantan TRW turut mendapatkan khidmat pemain berpengalaman termasuk Nor Azam Azih serta Sean Selvaraj dalam usaha memberi saingan musim ini.

Bagaimanapun, aktiviti perpindahan pasukan kelihatan belum cukup apabila mereka terus dikaitkan dengan pemain kebangsaan Myanmar, Hein Htet Aung demi memperkuatkan jentera serangan.

Pemain yang pernah beraksi buat Selangor FC dan Negeri Sembilan FC itu berkali-kali dikatakan akan ke Pantai Timur, namun dia memilih untuk pulang ke negeri kelahirannya.

Dia sebelum ini disahkan menyertai Yangon United dan sudah sempat beraksi sekali, iaitu dalam aksi liga menentang Yadanarbon FC yang berakhir dengan kemenangan buat pasukannya.

Htet Aung meninggalkan pasukannya meskipun selepas menerima tawaran Kelantan TRW. Facebook/Yangon United

Tetapi, pada Ahad berbeza pula kisahnya apabila kelab tersebut secara tiba-tiba mengumumkan Htet Aung sudah meninggalkan pasukan itu secara serta-merta.

Malah, dalam pengumuman dibuat, Yangon United menyatakan keputusan berkenaan dibuat selepas mereka menerima tawaran Kelantan TRW untuk musim 2025/26.

Pengumuman terbabit menceritakan bahawa pemain berusia 23 tahun itu akan beraksi buat skuad kendalian Elavarasan dengan impaknya diperlukan bagi memperkukuhkan kedudukan dalam carta.

Gandingannya bersama Ifedayo dan Sean dalam kesebelasan utama sudah tentu akan menjadikan Kelantan TRW semakin digeruni sesuai dengan misi pihak pengurusan yang mahu menyaksikan peningkatan segera.

Untuk rekod, sepanjang beraksi dalam saingan Liga Super, Htet Aung menjaringkan sembilan gol dan 15 bantuan jaringan daripada 72 penampilan buat semua pasukan diwakilinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram