
KEBANGKITAN Negeri Sembilan FC di bawah bimbingan Nidzam Jamil musim ini cukup menarik untuk disaksikan apabila mereka akan menerima kunjungan Selangor FC di laman sendiri.
Pertembungan yang bakal berlangsung pada Ahad itu akan menemukan dua pasukan yang berada dalam momentum cukup baik dengan skuad Jang baru sahaja meraih kemenangan besar ke atas PDRM FC di pentas Piala FA 2025.
Skuad Gergasi Merah juga tidak kurang hebatnya selepas menyerap serangan demi serangan untuk mengikat Buriram United dalam aksi pembukaan Piala Shopee 2025/26 di Thailand.
BACA LAGI: Alex dipinjamkan ke NSFC bukan satu kesilapan — Legenda Selangor
BACA LAGI: Teruk ditaji pemain JDT di final Piala FA, Alex Agyarkwa beri 'hint' berehat panjang?
Gentlemen agreement menutup peluang Alex untuk beraksi berdepan skuad Gergasi Merah. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Jadi, tidak hairanlah apabila jangkaan awal menyatakan seramai 20,000 penonton dijangka membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk menyaksikan pertembungan epik.
Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan itu, peminat sedikit kecewa apabila tonggak skuad Jang, Alex Agyarkwa tidak dapat diturunkan berikutan perjanjian antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC.
'Gentlemen agreement' sememangnya dipersoalkan sekian lama, namun kelab Lembah Klang itu masih menyertakan klausa tersebut ketika melepaskan bintang kelahiran Ghana itu secara pinjaman.
Klausa tersebut sekali gus menghalang pemain tengah itu daripada menjadi 'mimpi ngeri' terhadap majikan asalnya berkenaan dengan penyokong juga berasa lega akan perkembangan terbabit.
Namun, Negeri Sembilan dan Nidzam tidak perlu berasa gusar akan ketiadaan Alex kerana perubahan taktikal boleh diterapkan selain menurunkan pilihan lain di posisi tersebut.
Gaya permainan Sang-su (kiri) menjadikannya calon sesuai untuk menggantikan Alex. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Pengendali skuad Jang itu sebelum ini tampil menyatakan import dari Korea Selatan, An Sang-su merupakan alternatif terbaik untuk menutup kehilangan pemain penting tersebut.
Ini membuktikan Nidzam sudah lama menyedari perkara terbabit dengan penyelesaian sudah dimiliki untuk memastikan kestabilan di posisi tengah dapat dikekalkan ketika pertembungan getir itu.
Meskipun belum berada dalam kesebelasan utama, Sang-su yang dimasukkan dalam kedua-dua perlawanan Negeri Sembilan FC mampu memberi cetusan tenaga buat rakan sepasukan setiap kali diperkenalkan.
Pendekatan lain juga boleh diambil, iaitu melakukan perubahan posisi dengan menggunakan formasi 3-4-3 yang pernah diguna pakai Nidzam ketika membimbing Selangor FC musim lalu.
Alex (kanan) mula membuktikan nilainya dalam pasukan selepas beraksi cemerlang berdepan JDT. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Negeri Sembilan FC ketika ini seakan-akan menggunakan pendekatan 4-3-3 dengan harapan menarik benteng pertahanan lawan ke atas menggunakan penguasaan bola yang kemas.
Tetapi, ketiadaan Alex memaksa perubahan diambil Nidzam dan Negeri Sembilan FC dengan kombinasi Wallin Aung dan A Selvan boleh mengawal posisi seperti mana dipamerkan.
Keputusan jelas terletak di tangan barisan kejurulatihan yang perlu membuat perancangan terbaik untuk mengekang jentera serangan Selangor FC yang mahu mencetak gol awal.
Selain itu, Negeri Sembilan FC perlu memastikan gaya permainan mereka tidak menunjukkan perubahan terlalu ketara disebabkan kehilangan Alex dalam pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram