
KEPUTUSAN Selangor FC meminjamkan pemain tengah import, Alex Agyarkwa ke Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi musim 2025/2026 mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong termasuk dakwaan bahawa langkah itu mungkin satu kesilapan.
Namun, legenda Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli tampil memberikan pandangannya dan menyifatkan peminjaman itu sebagai satu langkah yang mempunyai asas kukuh daripada sudut taktikal dan perancangan jangka panjang pasukan.
“Saya tak rasa peminjaman Agyarkwa ke NSFC satu kesilapan kerana saya yakin pihak kejurulatihan Selangor FC mempunyai perancangan mereka sendiri,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: ACLE: Pertembungan panas JDT-Buriram United berpotensi berlaku seawal peringkat kumpulan
BACA LAGI: 'Tiada siapa tahu keajaiban yang mampu dibawa pengendali baharu Sabah FC'
Akmal Rizal sebelum ini pernah beraksi buat Selangor.
Mengulas lanjut mengenai peminjaman Agyarkwa ke NSFC, Akmal Rizal berpandangan bahawa keputusan itu dilihat lebih kepada percaturan taktikal berdasarkan keperluan semasa skuad.
"Ya, Selangor pasti ada perancangan lain dengan kombinasi lebih baik di bahagian midfield,” tambahnya.
Peminjaman Agyarkwa ke NSFC dilihat sebagai langkah strategik yang mirip dengan perjalanan bekas rakan sepasukannya, Richmond Ankrah yang pernah dipinjamkan ke Penang FC pada musim 2024/2025 sebelum kembali menyertai Selangor dengan prestasi lebih meyakinkan.
Menurut rekod di laman Transfermarkt, Agyarkwa hanya merekodkan 15 penampilan dan tiga bantuan jaringan bersama Selangor musim lalu.
Statistik tersebut pastinya ingin diperbaiki oleh pemain tengah dari Ghana itu dalam usahanya menempatkan diri sebagai pemain utama Gergasi Merah pada masa akan datang, dan NSFC dilihat sebagai platform terbaik untuk dia mencapai matlamat tersebut.
Agyarkwa (depan) kini dipinjamkan ke skuad Jang bagi musim 2025/2026.
“Saya lihat peminjaman ke NSFC memberi peluang kepada Agyarkwa untuk beraksi lebih banyak berbanding musim lalu,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan atau kegagalan pinjaman tersebut bergantung sepenuhnya kepada pemain itu sendiri.
“Semuanya terpulang kepada Agyarkwa. Jika dia benar-benar mahu berada di prestasi terbaik, dia perlu buktikan kemampuan sepanjang musim, bukan sekadar satu dua perlawanan sahaja,” tegasnya.
Akmal Rizal merupakan antara penyerang terbaik yang pernah dilahirkan dalam bola sepak Malaysia yang turut pernah menabur bakti bersama Selangor pada musim 2007/08.
Kini, setelah sekian lama terlibat dengan taktikal dan tekanan di tepi padang sebagai jurulatih, Akmal Rizal kini menggalas peranan sebagai penganalisis apabila menyertai barisan pengulas bola sepak Astro bagi musim baharu Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram