
KEM latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara di Bangkok, Thailand disifatkan sebagai medan terbaik bagi memperkemaskan persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2026.
Namun, ketiadaan tiga tonggak utama sedikit merencatkan perancangan jurulatih, Nafuzi Zain.
Ketika anak buahnya mula menyesuaikan diri di kem latihan itu, Nafuzi mengakui dia berdepan peluang dan cabaran serentak dalam usaha membentuk pasukan terbaik menghadapi kejohanan penting berkenaan.
BACA LAGI: Tunggu masa debut, 3 ciri Tommy Mawat mungkin muncul 'duri dalam daging' di bumi Kenyalang
BACA LAGI: Usia 39 tahun bukan penghalang, bekas import Selangor hampiri perpindahan ke kelab Pantai Timur
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kerana menganjurkan kem latihan di Thailand sebagai persiapan awal untuk kelayakan.
"Kita juga dapat pemain daripada Liga A1 dan Liga Super, dan saya hargai kesediaan jurulatih kelab melepaskan mereka," katanya.
Nafuzi Zain — Gambar/Malaysia NT
Namun, tiga pemain utama iaitu pertahanan tengah Terengganu, Ubaidullah Shamsul Fazili, pemain sayap Selangor, Alif Izwan Yuslan dan penyerang Sabah, Fergus Tierney masih bersama kelab masing-masing yang enggan melepaskan mereka di luar jendela antarabangsa FIFA.
“Mereka tonggak penting untuk kelab masing-masing, jadi kita faham. Tapi kita juga berharap mereka dapat dilepaskan untuk tugasan negara.
"Kita tahu kualiti mereka kerana sebelum ini pernah beraksi bersama pemain lain dalam pasukan," jelas Nafuzi.
Skuad B-23 negara diundi dalam Kumpulan G bersama Thailand, Lubnan dan Mongolia, dengan semua aksi berlangsung di Stadium BG, Pathum Thani.
Fergus Tierney (kiri) masih bersama kelab masing-masing yang enggan melepaskan mereka di luar jendela antarabangsa FIFA. — Gambar/Malaysia NT
Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Arab Saudi.
Sementara itu, dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Oman di Bangkok dijadikan medan ujian intensiti sebenar sebelum menentang Lubnan dalam aksi pembukaan.
“Lubnan pasukan yang baik, malah semua lawan kita juga kuat. Perlawanan ini akan benar-benar menguji kemampuan kita, dan itu yang kita perlukan.
"Ia tidak mudah, tapi kami akan cuba lakukan yang terbaik,” tambahnya.
Terdahulu, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan pada Kejohanan B-23 AFF Julai lalu, manakala Thailand menamatkan saingan di tempat ketiga meskipun tanpa beberapa tonggak utama.
“Kejohanan itu memberi banyak pengajaran dan membuka mata saya untuk merancang lebih baik. Masih banyak aspek yang perlu diperbaiki,” kata Nafuzi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram